Pertanian dan cara mengeluarkan haknya

Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar, dan pohon-pohon tamar(korma) dan tanam-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan ) rasanya dan buah zaitun dan delima , yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampau-lampau. (al-An'am: 141)

Huraian

Allah SWT telah menciptakan berbagai-bagai jenis kebun, kerana Dialah yang telah mengeluarkan kejadian-kejadian yang hidup daripada yang mati.

Di antara kebun-kebun itu ialah kebun-kebun tanaman yang melata yang ditanam dan dijaga oleh manusia dan ada pula kebun-kebun pokok dan tumbuhan liar yang tumbuh sendiri dengan kuasa Allah SWT dan subur tanpa jagaan manusia.

Allah jualah yang telah mencipta pohon kurma dan tanaman yang beraneka warna, rasa dan rupa bentuk. Dialah yang menciptakan pokok-pokok zaitun dan delima yang serupa bentuk dan warnanya tetapi berbeza rasanya.

Segala hasil pertanian yang diperoleh oleh manusia pada hari menuai hendaklah dikeluarkan haknya iaitu zakat dan juga sedekah.

Walaubagaimanapun Allah SWT melarang manusia melakukan pemborosan terhadap cara mengeluarkan hak pertanian ini sama ada melalui pemberian sedekah ataupun cara makan atau menikmati hasil pertanian tersebut.

Kesimpulan

Hasil pertanian sama ada berupa hasil kebun yang tumbuh sendiri ataupun yang dijagai manusia hendaklah dikeluarkan haknya iaitu zakat dan juga sedekah mengikut nisab yang telah diperintahkan Allah kerana kebun-kebun tersebut merupakan ciptaan dan kurniaan Allah kepada manusia.

Walaubagaimanapun sifat bersederhana dalam segala perbuatan amatlah dituntut kerana Allah tidak sukakan orang-orang yang bersikap melampau-lampau.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url