Perundangan Islam bersesuaian dengan fitrah manusia
Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Terdapat umat Islam kurang yakin terhadap keistimewaan dan keindahan perundangan Islam dalam kehidupan manusia. Mereka beranggapan perundangan Islam menyulitkan kehidupan manusia sehingga terdapat di kalangan mereka memperkecilkan hukum-hakam Islam.
Mereka sanggup bekerjasama dengan penganut bukan Islam untuk menentang syariah Islam yang dianggap sebagai keras dan kejam. Perkara begini berlaku disebabkan oleh kejahilan mereka menilai wahyu Allah dan peranan Rasulullah SAW.
Sikap keegoan dan merasai diri terlalu hebat adalah salah satu faktor yang menyebabkan manusia kurang berminat untuk membaca dan meneliti perundangan Allah secara pemikiran terbuka.
Kefahaman tentang Allah secara melihat, merenung, berfikir dan menganalisis bukan sahaja boleh meyakinkan manusia tentang hakikat kewujudan Allah dan Keagungan-Nya malah ia juga boleh menyebabkan manusia merasai dirinya adalah terlalu kerdil.
Allah mencabar pemikiran manusia dengan meminta mereka merenung dan berfikir. Sejauh manakah manusia menggunakan masa lapang mereka merenung langit, bintang, lautan dan sebagainya untuk meyakinkan diri mereka tentang hakikat penciptaan alam dan manusia? Ini merupakan persoalan yang sepatutnya dianalisis oleh setiap individu Islam.
Setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah mempunyai fitrah tersendiri dan peraturan tertentu. Fitrah manusia ialah berasaskan kepada jasad dan roh. Peraturan atau undang-undang berkaitan dengan jasad perlu dipatuhi jika manusia ingin melihat tubuh badan mereka sihat dan ceria.
Allah menyeru manusia supaya makan dan minum bahan makanan dan minuman yang halal dan baik. Sebagai manusia yang prihatin terhadap kesihatan tubuh badan maka mereka akan mengikuti peraturan yang digariskan oleh Pencipta manusia.
Jika mereka ingkar mematuhi peraturan tubuh badan seperti yang digariskan oleh Allah dan Rasul maka mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah jasad mereka.
Undang-undang Islam berkaitan dengan keperluan fizikal dibincangkan oleh Rasulullah SAW secara terperinci dengan tujuan untuk dijadikan tatacara hidup umat Islam. Perundangan ini perlu dilihat sebagai panduan dan peraturan yang paling bernilai dalam kehidupan manusia di mana tidak sepatutnya dianggap sebagai perkara yang membebankan dan kolot.
Roh memainkan peranan penting untuk menentukan seseorang manusia itu bahagia atau menderita dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat. Fitrah roh ialah mencari dan menghampiri Allah. Allah Maha Mengetahui dan Maha Pencipta amat prihatin terhadap makhluk-Nya.
Allah menurunkan wahyu melalui Malaikat Jibrail dan disampaikan kepada para Rasul supaya menjelaskan kepada manusia bahawa Tuhan mereka ialah Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sebarang makhluk yang berhak mengakui bahawa dirinya ialah paling berkuasa dan setiap individu perlu taat dan menyembahnya.
Bagi menyempurnakan kehidupan manusia Allah menggariskan pelbagai perundangan dan peraturan berhubung kait dengan dengan roh manusia. Allah menyeru manusia supaya mengejar kebahagiaan yang hakiki iaitu ketenteraman jiwa yang dikenali sebagai nafsu mutma'innah.
Kebahagiaan ini hanya dapat dicapai secara menghampirkan diri kepada Allah. Manusia yang tidak berlandaskan kehidupan kepada peraturan Allah tidak akan mencapai ketenteraman jiwa yang hakiki.
Mereka menjadi tamak dan rakus apabila diberi kuasa kerana mereka tidak memahami bahawa kebahagiaan yang sebenar ialah menunaikan perintah Allah berkaitan dengan hal ehwal kepimpinan manusia.
Mereka merompak, mencuri, meragut dan melakukan kegiatan jenayah untuk mendapat kekayaan dan harta benda kerana mereka tidak menyedari bahawa perbuatan demikian adalah haram dan bertentangan dengan fitrah roh.
Manusia membunuh dan mengkhianati di antara satu sama lain kerana jiwa mereka tidak tenteram lantaran terlalu terikut-ikut dengan perasaan yang dinodai oleh Syaitan dan keengganan mereka untuk mematuhi perundangan Allah berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia.
Manusia akan berada dalam suasana aman, tenteram serta menghayati keindahan dunia jika mereka memahami peranan dan matlamat hidup di dunia ini iaitu sebagai hamba kepada Allah dan pemimpin di muka bumi.
Perundangan Allah yang disebarkan oleh Rasulullah SAW jika dipatuhi dan diamalkan mampu membentuk dunia menjadi sebuah planet yang aman, indah dan damai.
Peperangan memusnahkan jiwa manusia dan keindahan alam semula jadi. Hasilnya muka bumi hilang keindahan yang mengagumkan serta buminya menjadi lautan darah manusia. Inilah hakikatnya jika manusia mengingkari perintah dan perundangan Allah.
Dunia hancur, jiwa manusia menjadi tidak bernilai dan keindahan dunia musnah akibat manusia bersikap dan bertindak bertentangan dengan fitrah ciptaan mereka.
Berdasarkan kepada kemusnahan yang wujud di dunia masa kini maka umat Islam perlu berjuang mempertahankan kedudukan perundangan Islam supaya mereka dapat memahami bahawa perundangan Allah ialah satu perundangan yang terlalu tinggi nilainya bagi kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.