Presiden PAS tetap syarat kepada UMNO

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan kini mengenakan syarat jika Umno dan Barisan Nasional (BN) bersetuju meneruskan perbincangan dengan parti itu.

Antara syarat beliau ialah menggesa kerajaan BN melaksanakan pemulihan terhadap demokrasi negara, sistem kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kebebasan media.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas apabila ditanya sama ada Pas akan bersetuju untuk meneruskan perbincangan khususnya dalam isu kerajaan perpaduan jika kerajaan BN mematuhi syarat ditetapkan parti itu.

"Itu tak timbul lagi, saya tak mahu jawab benda akan datang... Saya utamakan dulu perbincangan untuk memulihkan demokrasi, kehakiman, kebebasan media... kita akan berjumpa (dengan Umno/BN) untuk isu ini saja," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat sesi 2009/2011, di sini, semalam.

Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya pada muktamar di Stadium Melawati, Shah Alam, Khamis lalu, membangkitkan semula idea pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berdolak-dalik apabila menafikan parti itu akan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno kerana isu itu tidak dibincangkan dalam jawatankuasa parti.

Ditanya bila Pas mahu membincangkan isu kerajaan perpaduan secara serius, beliau berkata isu itu tidak berbangkit.

Katanya, penjelasan kerajaan perpaduan hanya akan dilakukan jika pertanyaan itu datang daripada rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ditanya kemungkinan timbul perpecahan dalam Pas sehingga mewujudkan dua kumpulan berbeza pendapat mengenai isu kerajaan perpaduan, Abdul Hadi bukan saja menafikannya dan memberi komitmen terhadap Pakatan Rakyat, malah mahu Pas menyelesaikan dulu isu dalaman sama ada dalam parti dan Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi berkata, apa yang dicetuskan pada muktamar lalu hanyalah perbincangan ilmiah.

Beliau mendakwa tidak mengetahui pertemuan sulit beberapa pucuk pimpinan parti itu termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan.

Sementara itu di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz melahirkan rasa marah terhadap pemimpin Pas yang mencetuskan idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka sebagai boneka Umno yang mahu memecah belahkan Pas.

Sambil menegaskan, beliau berpegang kepada keputusan Muktamar Pas di Ipoh, tahun lalu, yang membuat ketetapan mengukuhkan Pakatan Rakyat, Nik Abdul Aziz berkata, isu kerajaan perpaduan bukan dibangkitkan Pas, sebaliknya 'orang perpaduan' dalam parti itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • zizOu21
    zizOu21 Sabtu, 13 Jun 2009 pada 3:29:00 PG SGT

    begitulah PAS kebiasaannya..
    letak mcm2 syrt..
    lps satu, satu.. lepas tu ada lagi..
    sampaila ke syrt yg xmampu di penuhi umno..
    dan akhirnya umno jugak yg dipersalahkan atas sebab xmahu wujudkan perpaduan org melayu dan umat islam..

    dia jugak yg betul..

Add Comment
comment url