Runtuhan bumbung stadium tidak jejas jaguh kebangsaan
Tragedi runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin tidak melemahkan semangat tiga jaguh pecut kebangsaan untuk menunjukkan aksi terbaik dalam Sukan Staf Antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-34 di sini, semalam.
Walaupun terpaksa berlari di trek latihan olahraga Gong Badak di luar pekarangan stadium itu, bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, Rabbani Hassan dan Malik Tobias tetap mengungguli acara masing-masing.
Nazmizan, 28, yang mewakili Universiti Malaysia Perlis (Unimep) mencatat masa 52.8 saat untuk meraih pingat emas acara 400 meter lelaki senior.
Dalam acara kuartet 4X100 meter lelaki senior, Nazmizan bergandingan bersama Rabbani untuk mengutip emas kedua peribadi.
''Bumbung runtuh memusnahkan impian saya untuk berlari buat kali pertama di stadium ini.
''Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Saya bersyukur kerana ia berlaku sebelum temasya ini berlangsung,'' katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Nazmizan, sebab utama temasya ini diadakan di Kuala Terengganu adalah kerana keunikan stadium yang dibina dengan kos kira-kira RM292 juta.
Acara olahraga yang membuka tirainya semalam menawarkan 22 emas untuk rebutan.
Unimep mengungguli kutipan pingat dengan meraih lapan emas, sembilan perak dan tiga gangsa.
Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat kedua dengan tiga emas, lima perak dan dua gangsa manakala ketiga dikuasai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengumpul tiga emas dan dua gangsa.
- UTUSAN