Satelit Measat-3a tingkat mutu telekomunikasi Malaysia
Andai dijalankan kaji selidik terhadap pelanggan Astro dengan pertanyaan apakah masalah paling kerap berlaku atau perkara paling 'menyakitkan' hati ketika hujan, sudah tentu jawapannya seragam - tiada siaran atau siaran terganggu.
Inilah hakikatnya. Tanya saja mana-mana pelanggan Astro, pasti semua pernah mengalami masalah ini. Tidak perlu hujan lebat, asalkan hujan, pasti siaran terganggu. Ini bukan masalah asing tetapi dianggap berat oleh pengguna sehinggakan wakil rakyat turut membangkitkan isu ini di Dewan Negara, pertengahan tahun lalu.
Menjawab soalan yang dibangkitkan itu, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi ketika itu, Datuk Joseph Salang Gandum, berkata masalah gangguan siaran Astro ketika hujan dijangka dapat diatasi selepas satelit Measat-3a (M3a), milik Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat) dilancarkan.
Janjinya, masalah transmisi itu yang dijangka dapat dikurangkan sehingga 30 peratus, dapat diatasi Disember 2008 berikutan M3a akan dilancarkan pada 21 Ogos 2008. Namun, pelancaran M3a terpaksa ditunda walaupun segala persiapan ketika itu sudah disediakan. Satelit itu rosak ketika operasi prapelancaran di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.
Kini, selepas kira-kira 10 bulan, M3a yang dibangunkan Orbital Sciences Corp, Dulles, Amerika Syarikat, bersedia untuk dilancarkan sekali gus memberi perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi lebih baik kepada pelanggannya.
Satelit keempat Measat itu kini berada di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bagi persiapan akhir untuk pelancaran awal pagi esok. Satelit itu dijadual dilancarkan di atas kenderaan pelancaran Zenit 3-SLB Landlaunch pada jam 3.50 pagi waktu tempatan (5.50 pagi waktu Malaysia).
M3a direka bentuk untuk beroperasi seiring satelit komunikasi Measat-3 (M-3) yang dilancarkan pada 12 Disember 2006. Dengan tambahan 24 penerima isyarat (transponder) 12 jalur KU dan 12 Jalur C kepada 48 penerima isyarat M3, ia akan terus menyokong industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin berkembang dan membangunkan industri penyiaran dan televisyen berasaskan konsep Terus Ke Rumah (DTH).
Ketua Pegawai Operasi Measat, Paul Brown-Kenyon, berkata pelancaran M3a membolehkan syarikat berkenaan memenuhi keperluan pelanggan dalam kepesatan teknologi ICT, sama ada di Malaysia atau sekitar Asia Pasifik.
Sebagai pembekal perkhidmatan komunikasi satelit kepada syarikat peneraju penyiaran di Asia, platform DTH dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pelaburan jangka panjang Measat bagi meningkatkan kapasiti satelit baru amat penting bagi memastikan syarikat terus mendapat sokongan daripada pembangunan industri ICT tempatan, pada masa sama mengukuhkan kedudukan dalam industri satelit antarabangsa.
Dengan angkatan satelitnya setakat ini Measat-1 (kini dinamakan Africasat-1) dan Measat-2 yang dilancarkan pada 1996 serta M3a t ketika ini menyediakan kapasiti satelit di 145 negara yang mewakili 80 peratus penduduk di Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika, Eropah dan Australia.
Detik bersejarah hari ini akan turut disaksikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, wakil media dan lima pelajar bertuah dari seluruh negara.
Lina Na'ilah Abdul Talip dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor; K Chandra Sekhar (SMK Dato Penggawa Timur, Johor Bahru, Johor); Cliff Asher R Ongil (Sekolah Menengah St Paul, Beaufort, Sabah); Ahmad Ruiz Mohd Asri (Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur) dan Edmund Lau Chen Min (Sekolah Tinggi Kuching, Sarawak) dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 selain aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Mereka dijadual menyaksikan saat bersejarah itu tahun lalu tetapi perjalanan mereka tertangguh hampir setahun lamanya, gara-gara penangguhan pelancaran satelit berkenaan. Hampir setahun berlalu, semangat mereka tetap berkobar untuk menjejakkan kaki di tapak pelancaran.
Bertemu mereka minggu lalu, nyata pelajar terbabit teruja untuk melalui pengalaman itu, begitu juga keluarga yang menemani mereka. Bagi pelajar ini, peluang menyaksikan pelancaran satelit dan menerokai industri angkasa lepas Russia adalah penyuntik semangat bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November depan.
Malah, pemilihan mereka daripada ribuan pelajar dari seluruh negara membanggakan seluruh warga sekolah masing-masing. Chandra Sekhar, pelajar yang bercita-cita menjadi jurutera penerbangan memberitahu kain rentang yang mencoretkan ucapan tahniah dan kata-kata semangat buatnya menghiasi persekitaran sekolah. Sehingga hari ini, katanya, kain rentang yang turut memaparkan wajahnya masih terpampang di sekitar sekolah.
Justeru, pengalaman berharga yang bakal dikutip di bumi asing itu tidak akan dipersia-siakan. Selain menjadi hadiah buat diri sendiri dan bekal menggapai cita-cita, segala ilmu dan pengalaman manis di bumi asing itu akan dikongsi bersama rakan dan seluruh warga sekolah.
Setiap pelajar ini, semuanya berusia 17 tahun, akan dibekalkan kamera video berdefinisi tinggi (HD) bagi merakamkan pengalaman mereka itu untuk dikongsi bersama rakan pelajar lain sekembalinya mereka ke tanah air.
Menjadi harapan semua, pelancaran M3a hari ini akan berjalan lancar seperti dijadualkan sekali gus meletakkan satu lagi satelit untuk manfaat rakyat tempatan juga seluruh dunia. Pasti juga, harapan pelanggan Astro, kehadiran satelit ini membolehkan mereka menonton siaran kegemaran, tanpa gangguan, terutama ketika hujan.
- BERITA HARIAN