'Seri Paduka sedih stadium runtuh' - MB Terengganu


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dukacita dengan kejadian runtuh sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baginda melahirkan perasaan itu ketika dimaklumkan mengenai insiden yang dianggar membabitkan kerugian RM25 juta itu pada hari kejadian.

Beliau berkata, Seri Paduka juga dimaklumkan susulan perkembangan semasa kejadian itu berserta gambar runtuhan berkenaan.

"Baginda memang sedih dan dukacita dengan kejadian itu," katanya selepas meninjau operasi trafik dan membanteras samseng jalanan di Jalan Sultan Mohammad di sini, kelmarin. Hadir sama Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa lalu, bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta, yang perasmiannya disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei tahun lalu, runtuh.

Stadium berkapasiti 50,000 penonton itu adalah yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang atau 'space frame'.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tragedi itu, beliau berkata, pihaknya tiada maklumat mengenainya, bagaimanapun sentiasa bersedia dan bersikap terbuka membantu siasatan suruhanjaya itu.

"Saya tidak tahu lagi (perkembangan) setakat ini. SPRM belum menghubungi saya lagi, tetapi tidak tahulah siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri bagaimana. Kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM menyiasat berasaskan peruntukan undang-undang untuk mengenal pasti setiap kelemahan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia mendedahkan kepada umum hasil siasatan pihak berkuasa jika berlaku kepincangan dalam prosedur pembinaan dan penyelenggaraan prasarana awam itu.

Sementara itu, Ahmad yang mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Batu Burok di sini, menyuarakan kekecewaannya terhadap JKR negeri, yang mengambil mudah aspek pembinaan dan penyelenggaraan prasarana itu sehingga boleh menjejaskan keselamatan orang ramai.

"Saya memang tidak berpuas hati dan sangat kecewa dengan JKR negeri. JKR (bertanggungjawab) mengawasi sesuatu projek, tetapi tiada pegawai yang datang.

"Sepatutnya kena lantik pegawai datang masa pembinaan. Jangan lepas tangan. Jangan ambil mudah lepaskan projek pada kontraktor, tetapi tidak buat pemantauan dan pemeriksaan susulan.

"Saya harap mereka dapat terima teguran ini secara positif," katanya yang tidak berpuas hati dengan rekaan kolam renang itu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Nuyu Yusof
    Nuyu Yusof Ahad, 7 Jun 2009 pada 7:39:00 PTG SGT

    saya pn sedih tengok stadium runtuh..terkejut yang teramat!

Add Comment
comment url