Raja Petra macam penjenayah - Musa Hassan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyifatkan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin sebagai penjenayah kerana melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan kes di mahkamah.

Katanya, tindakan Raja Petra yang tidak hadir di mahkamah sebanyak dua kali berhubung tuduhan hasutan dan fitnah terhadapnya seolah-olah menggambarkan dia sudah bersalah.

"Buat salah kemudian lari ke luar negara. ini apa cerita ini, macam penjenayah," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas tindakan Raja Petra yang menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal ke mahkamah sebelum ini.

Pada 23 April lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap kerana dia gagal hadir perbicaraan kes hasutannya berhubung artikel bertajuk Let's Send The Altantuya Murderers To Hell dalam laman web www.malaysia-today.net.

Pada 23 Mei lalu pula, waran tangkap kedua dikeluarkan terhadapnya kerana tidak hadir bagi perbicaraan tuduhan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua lagi dalam akuan bersumpahnya yang mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Musa berkata, polis berusaha menjejak Raja Petra dengan bantuan Interpol dan rakan sejawat di Australia.

Terdahulu, Musa menafikan polis bertindak kejam memukul seorang lelaki dengan ganas untuk memaksanya mengaku melakukan sesuatu kesalahan seperti ditunjukkan dalam klip video yang dimuatkan dalam blog Malaysia Today semalam.

"Dia (Raja Petra) ini penipu dan melampau, video itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan polis malah tiada yang memakai seragam polis," katanya.

Semalam, Raja Petra memuatkan pautan klip video dalam blognya di bawah tajuk 'kaedah soal siasat moden polis Malaysia' dan mendakwa itu cara polis memaksa seseorang mengaku melakukan jenayah walaupun tidak melakukannya.

Klip video itu sebaliknya memaparkan lelaki dikatakan warga asing lingkungan 30-an dibelasah sekumpulan lelaki termasuk dua yang memakai kemeja putih dan seluar hitam, dipercayai pengawal keselamatan.

Kejadian itu berlaku di sebuah bilik, namun pengirim klip video itu tidak memberi maklumat lanjut termasuk tempat, tarikh serta identiti semua individu di dalamnya.

Berikutan dakwaan Raja Petra itu, ramai pelawat blog memberi komen negatif terhadap Polis Diraja Malaysia termasuk menyamakan mereka dengan binatang.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url