Undian Anugerah Planet Muzik (APM ) 2009 mula dibuka


Menggabungkan tiga negara Malaysia, Indonesia dan Singapura, APM 2009 membawa seribu erti bukan sahaja kepada pemuzik dan penyanyi di seberang tetapi juga penganjurnya

Tahun kesembilan penganjuran Anugerah Planet Muzik 2009 (APM) banyak membawa perubahan bukan sahaja dari segi kategori anugerah yang dipertandingkan bahkan juga lokasi penganjurannya.

Buat pertama kalinya, APM akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Jakarta di Senayan, Indonesia dan turut meraih sokongan yang cukup kuat daripada peminat dan media di sana yang begitu teruja dengan kehadiran APM.

Menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, APM 2009 membawa seribu erti bukan sahaja kepada pemuzik dan penyanyi di seberang tetapi juga penganjurnya.

Menurut Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd. dan Penerbit Eksekutif APM 2009, Amin Hussen, selama tiga tahun, beliau dan pasukannya berusaha untuk menempatkan APM di Indonesia kerana selama ini, hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang menjadi tuan rumah walaupun Indonesia turut tersenarai dalam setiap kategori.

"Bukan sekali kami mencuba tetapi banyak kali. Bagaimanapun, ada sahaja yang menghalang usaha kami, kalau tidak soal penaja atau kerjasama, pastinya keselamatan menjadi perkara utama.

"Apa pun kali ini kami bersyukur kerana Indonesia sudi menerima APM, malah mengangkat APM lebih besar daripada anugerah yang lain di Indonesia kerana mereka bukan sahaja bersaing sesama mereka tetapi turut disertai dua negara lain," jelasnya.

Tambahnya, sejak tahun 2006 syarikatnya dan rakan penganjur Media Corp Radio (Singapura) telah berusaha untuk menempatkan APM di Indonesia tetapi baru tahun ini usaha itu membuah hasil.

Halangan yang terpaksa diharungi bukan sedikit kerana anugerah ini dianjurkan oleh syarikat dari Malaysia dan Singapura bukannya Indonesia, selain faktor keselamatan merupakan agenda utama.

"Sebelum ini bukan kami tidak mahu adakan APM di Indonesia tetapi dua tiga tahun dulu, politik Indonesia sedang bergolak dan ada pula kes pengeboman, itu yang kami tangguh penganjuran APM di sana.

"Sekarang semuanya tenang dan mereka juga menerima kehadiran kami dengan baik. Jadi tahun 2009 masa yang cukup sesuai. Buktinya pada majlis sidang media APM 2009 di Hard Rock Cafe, Jakarta, lebih 80 media yang hadir dan mereka sungguh teruja dengan penganjuran APM pertama kali di Jakarta," tuturnya.

Ini bermakna segala berita kononnya orang Indonesia tidak akan menerima sebarang produk muzik daripada Malaysia mahupun Singapura meleset sama sekali.

Luah Amin lagi, sepanjang berada di Indonesia atas urusan APM, pihaknya disambut baik malah, kebanyakan media Indonesia mengalu-alukan kedatangan produk Malaysia di sana.

"Senarionya jauh berbeza daripada berita-berita yang kita dengar sebelum ini. Kata mereka, muzik tidak memerlukan diskriminasi dan bagi mereka muzik merupakan satu mesej keamanan yang menyatukan semua bangsa seperti mana konsep APM.

"Apabila kami membawakan cadangan untuk menganjurkan APM, mereka bersetuju dan memberi sokongan padu," ujarnya.

APM 2009 mempertandingkan 16 kategori terbaik dan popular di samping dua anugerah khas iaitu Anugerah Cinta Planet Muzik dan Anugerah Khas Planet Muzik dan APM akan disiar secara langsung menerusi saluran Ria (saluran 104, Astro) pada 18 Julai depan.

Bagi peminat yang ingin mengundi artis kesayangan masing-masing bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo! dan Artis Serantau Paling Popular, talian undian telah dibuka bermula hari ini dan hanya ditutup pada 18 Julai pada pukul 10 malam.

Senarai artis yang terpilih dan cara untuk mengundi tertera seperti lampiran di bawah. Apa ditunggu lagi, cepat-cepatlah mengundi untuk menyaksikan artis kesayangan anda pulang membawa anugerah.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url