Universiti Cambridge hapus amalan 300 tahun
Pihak pengurusan Universiti Cambridge menghapuskan tradisi mengumumkan keputusan peperiksaan di sebuah papan notis kerana mendakwa cara itu memberi tekanan kepada para pelajarnya.
Sejak 300 tahun lalu, keputusan peperiksaan pelajar akan ditampal di papan notis di luar Rumah Senat yang boleh diketahui oleh semua pihak.
Perubahan radikal itu adalah susulan kepada kempen pelajar prasiswazah yang menyatakan cara memperoleh keputusan itu menyebabkan trauma kerana ada pihak lain yang terlebih dahulu mengetahui sama ada mereka lulus atau gagal.
Malah keputusan bagi beberapa peperiksaan seperti Matematik akan diumumkan secara terbuka di anjung Rumah Senat.
Mulai Jun tahun depan, para pegawai universiti akan menghantar keputusan peperiksaan menerusi e-mel sebelum menampal keputusan di papan notis untuk tatapan umum.
Menurut Pro Naib Canselor Pendidikan, Prof. John Rallison, keputusan itu tidak dipraktikkan sebelum Jun 2010 kerana rundingan bersama jabatan dan fakulti terbabit perlu diadakan untuk menentukan implikasi cadangan baru itu.
- Agensi