Terengganu beraksi di stadium lama
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, lokasi perlawanan itu terpaksa dipindah ekoran bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak runtuh semalam.
Menurutnya, buat masa ini, jadual perlawanan bola sepak melibatkan pasukan negeri itu tidak berubah dan masih kekal seperti sebelum ini.
"Kita tak ada masalah untuk bermain di stadium itu tetapi kita harap pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dapat memantau keadaan padangnya.
"Ini kerana stadium itu kerap digunakan untuk pelbagai acara seperti konsert dan juga pertunjukan tatu yang dijadualkan tidak lama lagi," katanya semasa melawat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.
Terdahulu, bumbung Stadium Sultan Zainal Abidin yang menjadi gelanggang temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 tahun lalu, runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
Mulai musim ini, Terengganu dan T-Team menggunakan stadium berkenaan sebagai gelanggang untuk perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.
Kali terakhir Terengganu beraksi di stadium berkenaan ialah pada 26 Mei lalu ketika menang 3-2 ke atas Johor FC.
"Perlawanan minggu lepas adalah perlawanan pertama kami selepas stadium itu ditutup untuk kerja-kerja membaiki pagar kira-kira sebulan lalu," katanya.
- KOSMO!