013 REDtone tawar rebat, insentif

Pelan pasca bayar menawarkan pendapatan berlebihan, malah ia mampu memberi penjimatan pada masa yang sama. Cukup menarik bukan?

REDtone International Bhd. (REDtone), penyedia perkhidmatan komunikasi alternatif hari ini mengembangkan portfolio produknya dengan memperkenalkan perkhidmatan mudah alih yang direka khusus menawarkan rebat dan insentif kepada pelanggan, sekali gus membantu mereka berjimat.

Pengarah Urusannya, Wei Chuan Beng berkata, pelan pasca bayar terjamin mudah alih REDtone yang inovatif itu, dipercayai pertama dalam industri telekomunikasi yang menawarkan aliran pendapatan berterusan.

Katanya, pelan tersebut disasarkan kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pejabat kecil, pejabat rumah (SoHo).

"Segmen ini berpotensi besar kerana merangkumi kira-kira 90 peratus perniagaan industri telekomunikasi di negara ini.

"Kami yakin pelan ini mempunyai kelebihan yang unik dan berupaya membezakan kami dengan pesaing lain yang ada dalam pasaran sekarang," katanya selepas melancarkan perkhidmatan mudah alih 013 REDtone, di sini hari ini.

Hadir sama merasmikan majlis itu ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Perkhidmatan mudah alih REDtone dikendalikan oleh anak syarikat milik penuhnya, REDtone Mobile Services Sdn. Bhd. (REDtone Mobile), pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO).

Menurut Chuan Beng, pihaknya berada di landasan terbaik bagi memenuhi permintaan PKS dan SoHo kerana syarikat mengenali dan mengetahui kemahuan serta keperluan daripada kedua-dua segmen itu selain rangkaian jualan di seluruh negara.

Selain itu, tambah beliau, pelanggan PKS dan SoHo berpeluang menikmati pendapatan dan insentif tambahan apabila berjaya merujuk rakan niaga untuk menggunakan perkhidmatan pasca bayar REDtone.

"Inisiatif rujukan ini juga membantu mengembangkan asas pelanggan kami di seluruh negara yang kini melebihi 5,000 yang juga merupakan ejen jualan di seluruh negara," ujarnya.

Beliau menjelaskan, pihaknya telah melaburkan lebih RM25 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi perkhidmatan mudah alih berkenaan.

Serentak itu, Chuan Beng mengunjurkan keuntungan positif bagi REDtone pada tahun kewangan yang berakhir 31 Mei 2010 menerusi pengenalan pelan itu dan juga perniagaannya di China.

REDtone yang beroperasi sebagai MVNO tidak memiliki lesen spektrum dan infrastruktur sendiri bagi menawarkan perkhidmatan mudah alih kepada pelanggan tetapi menggunakan infrastruktur telekomunikasi Celcom (M) Bhd. untuk menjalankan operasi.

Kini, produk REDtone merangkumi data, perkhidmatan jalur lebar, suara dan perkhidmatan nilai tambah (VAS) dengan adanya perkhidmatan mudah alih 013 REDtone.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url