Bina keimanan umat daripada mencampuri urusan agama lain
Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Agama Islam mengasuh umatnya supaya menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang boleh membentuk keperibadian Islam yang mampu menghadapi sebarangan rintangan hidup sama ada dalam aspek kehidupan keduniaan dan alam akhirat. Oleh itu dalam mengasuh umat Islam maka disiplin ilmu pengetahuan yang perlu dipelajari dan dihayati oleh mereka terbahagi kepada dua.
Pertama, ilmu-ilmu berkaitan dengan ilmu wahyu yang disampaikan oleh Allah kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun melalui Jibrail berkaitan dengan akidah, syariah (perundangan) dan akhlak. Umat Islam yang mendalami ilmu ini digelar sebagai orang yang mahir dalam ilmu wahyu (yufaqqih fi'l-din) yang dikenali sebagai ulama.
Ilmu-ilmu wahyu begini tidak akan dapat dicapai dalam jangka masa pendek. Ia mempunyai disiplin-disiplin yang perlu dipatuhi.
Jika disiplin dalam mempelajari ilmu-ilmu ini diketepikan maka agama Islam akan menjadi hancur dan ia akan menjadi agama yang sentiasa diubah suai mengikut penafsiran manusia berlandaskan kepada cita rasa dan pemikiran yang tertakluk kepada pemahaman ideologi.
Keprihatinan umat Islam dalam perkara ini merupakan faktor utama yang menyebabkan isi kandungan al-Quran dan hadis terpelihara.
Pelbagai cara digunakan oleh musuh Islam untuk menukar dan memesongkan isi kandungan al-Quran dan hadis tetapi tidak berjaya kerana golongan ulama yang dianggap kolot oleh golongan tertentu mampu mempertahankan keaslian isi kandungan al-Quran dan hadis.
Jika ilmu-ilmu wahyu ini dipesongkan maka keimanan umat Islam menjadi lemah dan corak kehidupan masyarakat menjadi konflik.
Terdapat umat Islam beranggapan bahawa Hadis merupakan faktor umat Islam mundur. Tindakan begini amat merbahaya kerana jika hadis dihapuskan maka umat Islam tidak ada pedoman dan cara bagaimana hendak menyembah Allah Yang Maha Esa dan melakukan ibadah.
Apabila hadis sudah hilang dalam pemikiran umat Islam maka agama Islam dan identiti umatnya akan terhapus. Ketika ini umat Islam akan menjadi satu umat yang tidak ada identiti Islam dan akan mengikut tradisi agama lain yang dianggap bersesuaian dengan cita rasa mereka tanpa memahami ibadah dalam bentuk apakah yang sepatutnya diamalkan oleh mereka seperti dituntut oleh Allah.
Apabila umat Islam cuai terhadap ajaran Hadis maka corak kehidupan mereka bertentangan dengan ajaran Islam. Tingkah laku dan tindakan mereka tidak melambangkan identiti umat Islam. Ketika ini mereka akan memandang rendah terhadap umat Islam yang ingin mengekalkan tradisi kehidupan Rasulullah SAW.
Suasana begini jelas kelihatan dalam dunia Islam masa kini. Berdasarkan kepada suasana begini maka umat Islam perlu memperkukuhkan akidah Islam dan membimbing masyarakatnya secara gigih supaya menghayati ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan.
Ilmu kedua yang dituntut oleh Islam supaya umatnya gigih mempelajarinya ialah ilmu berkaitan dengan penguasaan dan kemakmuran dunia seperti ilmu sains dan teknologi, pembinaan, pertanian dan sebagainya.
Ini adalah bertepatan dengan matlamat ciptaan manusia sebagai khalifah/ pemimpin Allah di muka bumi. Ilmu-ilmu tersebut dikuasai oleh umat Islam pada masa silam di mana mereka mampu membentuk tamadun Islam dalam jangka masa yang singkat jika dibandingkan dengan tamadun Greek dan Rom.
Umat Islam dituntut mempelajari ilmu ini daripada masyarakat bukan Islam. Pertukaran ilmu pengetahuan dan kepakaran dengan masyarakat bukan Islam berkaitan dengan ilmu ini merupakan tradisi umat Islam sejak zaman silam lagi.
Umat Islam dan bukan Islam digalakkan bekerjasama membina dan memajukan negara tanpa mengira agama dan bangsa. Kerjasama dalam membentuk negara maju dan makmur adalah lebih bermakna daripada usaha untuk menyatukan agama dan memaksa setiap individu yang beragama memperakui kebenaran setiap agama.
Masyarakat Islam tidak dibenarkan mencampuri urusan agama lain. Mereka bebas untuk melakukan sesuatu berdasarkan kepada pemikiran teologi mereka. Ketidaksamaan akidah dan cara ibadah di antara umat Islam dan bukan Islam perlu diperakui. Ini bukan bererti umat Islam menghina dan memandang rendah kepada agama lain kerana cara umat Islam memahami kebenaran dan hakikat ketuhanan adalah berbeza.
Memandangkan kedudukan dan suasana umat Islam masa kini yang berada dalam ambang kehancuran maka umat Islam perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pembinaan keimanan dan jati diri umat daripada mencampuri urusan agama lain.
Kekuatan umat Islam bergantung kepada kegigihan umat mempertahankan akidah dan kesatuan ummah. Perkara begini semakin hari kelihatan kian luntur dalam kehidupan masyarakat Islam. Oleh itu teguhkan keimanan dan bersatu hati untuk menyemarakkan syiar Islam dan membentuk keperibadian umat yang ideal.