Ayu Raudah & Fizz memang ada keserasian dalam Nur Kasih
Bagi pelakon yang semakin meningkat naik, Ayu Raudhah, 24, dan Fizz Fairuz, 29, gandingan dalam beberapa drama televisyen tempatan bukan pertama kali. Sukar untuk menafikan penampilan dua pelakon berbakat ini.
Justeru tidak hairanlah mengapa mereka tidak perlu mengambil masa yang lama untuk membentuk keserasian ketika membawakan watak dalam setiap drama yang dijayakan.
Adik kepada pelakon terkenal Rozita Che Wan ini sememangnya cukup dekat dengan watak 'putih' yang dilihat sesuai dengan paras wajah dan penampilannya sebagai gadis lemah lembut selain penampilan dengan watak bertudung.
Namun sebagai pelakon, tidak lengkap sekiranya tidak mencuba pelbagai watak yang pastinya mampu membuktikan keupayaan seseorang pelakon itu mencapai tahap versatil.
Pelakon yang berasal dari Alor Star, Kedah bukan hanya dikenali dengan kecantikan tersendiri sehingga dilantik sebagai jurucakap satu produk kecantikan.
Bukan tempias populariti kakaknya atau kontroversi menjadi sandaran Ayu sebaliknya dia lebih suka masyarakat menilai dari segi penampilan dan bakat lakonannya.
"Syukur, ramai yang mula percaya dengan bakat saya dan memberi peluang untuk membina nama dalam dunia hiburan. Saya sangat terharu malah tidak menyangka ada juga yang memerhati dan menilai sehingga layak bergelar duta produk.
"Mungkin ramai yang menyenangi personaliti dan gaya bersahaja. Malah apa saja peluang yang diberikan sama ada menerusi peragaan dan lakonan saya akan berusaha untuk memberi komitmen yang sepenuhnya," kata gadis berzodiak Sagittarius itu.
Bagi, Fizz Fairuz pula sepanjang pengalaman selama lapan tahun dalam dunia lakonan pelbagai memori pahit manis yang dilaluinya. Dia bukan saja berpeluang menjelajah ke negara orang malah diberi kepercayaan membawakan pelbagai watak.
Gandingan mereka juga dapat disaksikan dalam drama Nur Kasih arahan Kabir Bhatia dan Faisal Ishak terbitan Filmscape Sdn Bhd yang kini disiarkan di TV3 setiap Jumaat jam 9 malam.
Pasangan ini juga buat pertama kalinya disandingkan dalam majlis perkahwinan ringkas dengan paluan kompang dan dilatari suasana kampung di tepi sawah bendang sekitar Tanjung Karang, Selangor.
Ayu ketika ditemui berkata cukup gembira menjadi sebahagian daripada pelakon yang menjayakan siri itu. Malah gandingan bersama beberapa pelakon juga mudah untuk mewujudkan keserasian kerana pernah bekerjasama dalam beberapa drama televisyen sebelum ini.
Mengenai gandingan bersama Fizz Fairuz sudah beberapa kali termasuk dalam telemovie, Sampai Menutup Mata. Begitupun untuk babak persandingan itu adalah kali pertama buat mereka.
"Saya senang berganding dengan Fizz. Sebelum ini kami beberapa kali digandingkan dalam drama dan telemovie. Tidak sukar untuk membentuk keserasian dengannya.
Malah saya juga selesa bergandingan dengan semua pelakon yang turut menjayakan drama ini," kata Ayu yang tampil dengan watak ustazah bermula episod 15 dan seterusnya.
Dalam drama itu mereka berkahwin selepas berkenalan dalam tempoh yang singkat. Malah tiada langsung dipaparkan kisah percintaan membabitkan mereka. Cuma selepas perkenalan yang tidak dirancang di sebuah kedai buku ketika mengerjakan umrah di Makkah menjadi detik perkenalan mereka.
Ayu yang pernah dihebohkan mempunyai gosip dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha memaklumkan dirinya masih solo dan tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana individu buat masa ini. Malah selepas terbongkarnya kisah dia dan Zaquan keluar minum berduaan timbul pelbagai dakwaan negatif membabitkan mereka. Sementara, Fizz juga cukup selesa digandingkan bersama Ayu. Malah dia yang membawa watak ustaz Aidil dalam drama itu menganggap penampilan dengan watak sopan dan mempunyai pendidikan tinggi dalam agama cukup di nantikannya.
"Watak dalam drama ini cukup perbezaan dengan lakonan saya sebelum ini kerana memerlukan penghayatan dari segi perasaan dalaman yang terpaksa dipendam disebabkan melindungi atau menyebelahi adik (lakonan Remy Ishak) atau keputusan yang dibuat oleh ibu bapa.
"Menerusi watak Aidil, saya terpaksa memendam perasaan disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh adik malah sebagai abang dalam drama ini saya terpaksa menanggung beban membabitkan hati dan perasaan," katanya.
Situasi sama turut dilalui Fizz, sebagai selebriti dia juga tidak lari daripada tempias gosip bersama seorang lagi pelakon muda yang semakin meningkat naik, Almy Nadia. Malah Fizz mengakui masih berkawan rapat dengan pelakon yang popular menerusi drama Dunia Baru itu.
>Profil
NAMA: Raudhah Che Wan
NAMA KOMERSIAL: Ayu Raudhah
TARIKH LAHIR: 7 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Alor Star, Kedah
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Dilema Wanita, Timur Mencinta Barat Merindu, Manjalara, Hidayah,
Dari Mata Arisa, KL Menjerit The Series, Alamaya, Sampai Menutup Mata, Patahnya Sayap Malam, Nur Kasih
FILEM: 4 Madu
>Profil
NAMA: Mohd Fairuz Zainal Abidin
NAMA KOMERSIL: Fizz Fairuz
TARIKH LAHIR: 22 Oktober 1979
TEMPAT LAHIR: Raub, Pahang
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Puteri, Dua Hati, Kaizer, Kaber Hero Kaber Zero, Impak Maksima
The Series dan Kekasihku Seru, Nur Kasih
FILEM: Gerak Khas The Movie, Orang Minyak, Anak Halal dan Syurga Cinta
- HARIAN METRO
Pelakon-pelakon wanita Nur Kasih semuanya cantik2 belaka terutamanya Ayu Raudhah. Aku memang minat sgt dgn Ayu Raudhah. Pandai pengarah memilih pelakon wanita. Tahniah diucapkan.