Polis siar suspek pengebom
Polis Indonesia semalam menyiarkan imej digital muka dua suspek pengebom berani mati yang menyerang Hotel J. W. Marriott dan Ritz-Carlton di sini.
Menurut polis, suspek pengebom yang membunuh lima orang di Hotel J. W. Marriott berumur antara 16 hingga 17 tahun.
Lelaki yang menjadi penyerang berani mati yang menyerang Hotel Ritz-Carlton berumur antara 20 hingga 40 tahun.
Imej itu ditunjukkan sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung pengeboman berkembar itu pada Jumaat lepas.
Polis berkata, lukisan digital itu dihasilkan berpandukan dua kepala pengebom berani mati yang ditemui di lokasi pengeboman di sini.
"Kami menemui dua kepala di lokasi pengeboman dan kami dapat mengesahkan kedua-duanya kepala pengebom berani mati itu," kata jurucakap polis, Nanan Soekarna.
Dua lelaki itu berambut pendek dan berwajah seperti orang Asia.
Menurut polis, pengebom Hotel J. W. Marriott itu setinggi antara 180 dan 190 sentimeter serta berkulit cerah.
Pengebom Ritz-Carlton pula lebih rendah dengan ketinggian 165 sentimeter dan berkulit sawo matang.
Bagaimanapun, polis masih gagal mengenal pasti identiti kedua-dua pengebom itu yang sebelum ini dikenali sebagai Ibrahim dan Nur Hasbi berikutan keputusan negatif ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
"DNA keluarga Ibrahim dan Nur Hasbi mengesahkan dua mayat itu bukan anak mereka," kata Nanan.
Tambahnya, lakaran komputer turut berbeza dengan wajah Ibrahim atau Nur Hasbi alias Nur Said yang dilaporkan sebagai orang kanan militan paling dikehendaki di Asia Tenggara iaitu Noordin Mohammad Top.
- Agensi