PTPTN perlukan dana RM4.2b biaya pelajar

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memerlukan dana berjumlah RM4.2 bilion dengan RM3 bilion menerusi institusi kewangan untuk membiayai pinjaman pendidikan pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan pada tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata PTPTN sudah berunding dengan institusi kewangan tempatan bagi mendapatkan pinjaman berlandaskan syariah dengan jaminan kerajaan bagi memenuhi keperluan itu.

“Jumlah diperlukan bagi pinjaman pelajar pada tahun ini adalah RM4.2 bilion. Daripada jumlah itu, RM3 bilion akan diperoleh menerusi pinjaman daripada institusi kewangan dan bakinya, RM1.2 menerusi sumber dalaman PTPTN khususnya daripada kutipan balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian pinjaman Islam berjumlah RM1.5 bilion antara CIMB dan PTPTN di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Korporat dan Pelaburan CIMB Group, Datuk Charon Wardini Mokhzani; Timbalan Ketua Eksekutif CIMB Islamic Bank, Muzaffar Hisham; Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman dan Ketua Eksekutifnya, Yunos Abd Ghani.

Mohamed Khaled berkata, daripada keseluruhan keperluan dana RM4.2 bilion itu, sejumlah RM3 bilion akan disalurkan PTPTN kepada 386,648 pelajar lama dan RM1.194 bilion kepada 161,278 pelajar baru pada tahun ini.

Mengulas mengenai prestasi kutipan semula pinjaman pelajar, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan strategi dan tindakan penguatkuasaan teratur membolehkan bayaran balik pinjaman berjumlah RM1.19 bilion daripada 659,880 peminjam, diterima sehingga Mei lalu.

“Kita sudah menyaksikan peningkatan pembayaran balik lebih 50 peratus. Walaupun dari segi nilai masih rendah, ia adalah berikutan kelonggaran tempoh bayaran balik yang lebih panjang diberikan berdasarkan kemampuan peminjam. Bagaimanapun, dari segi jumlah pembayar balik, ia meningkat dan ia petanda baik,” katanya.

“Menerusi langkah meminjam dana daripada syarikat kewangan khususnya daripada CIMB ini, pastinya PTPTN membayar balik pada kadar lebih tinggi kepada bank. Nilai itu adalah lebih tinggi berbanding kadar faedah dikenakan kepada peminjamnya iaitu satu peratus.

“Nilai daripada perbezaan kadar itu akan ditanggung kerajaan. Ia menunjukkan kerajaan memiliki dasar prihatin untuk membolehkan pelajar terus mendapat peluang pendidikan pada peringkat tinggi,” katanya.

Katanya, secara umumnya, kos perbelanjaan purata bagi seorang pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ialah RM30,000 setahun.

Bagaimanapun, katanya, seseorang pelajar itu hanya perlu membayar antara 20 hingga 25 peratus daripada kos itu iaitu menerusi bantuan pinjaman PTPTN.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url