''Saya seorang di antara berjuta pelajar...''

Pada petang 8 Julai 2009, keputusan yang dinantikan oleh semua rakyat Malaysia telah diumumkan. Isu PPSMI telah sampai ke penghujungnya, dengan keputusan yang diambil iaitu tidak meneruskan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Keputusan ini mungkin melegakan hati banyak pihak. Namun, tidak bagi saya.

Mungkin saya ini bersikap antiklimaks. Namun, saya merasakan sesuatu yang tidak kena dengan keputusan yang diambil kerajaan. Saya tidak menyalahkan kerajaan 100 peratus. Ini adalah kehendak rakyat. Kehendak rakyat mesti dituruti.

Saya, sebagai seorang salah seorang di antara berjuta pelajar yang terlibat dalam agenda yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini merasakan bahawa PPSMI mesti diteruskan.

Mungkin artikel ini sedikit pun tidak boleh menyebabkan keputusan berubah, namun hati saya seakan-akan menjerit menginginkan PPSMI diteruskan.

Kebaikan PPSMI tidak dapat dilihat dalam tempoh satu tahun. Ia merupakan kesan yang hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang yang akhirnya dapat dirasai oleh kita sendiri.

PPSMI bukanlah bertujuan mendera pelajar, jauh sekali merubah pelajar Malaysia menjadi pelajar Barat. Ia bertujuan untuk meningkatkan martabat bangsa dan negara kita.

Saya berpendapat bahawa orang lain tidak dapat melihat apa yang difikirkan di dalam minda Tun Dr. Mahathir ketika beliau merasakan bahawa PPSMI patut dilaksanakan suatu masa dahulu.

Namun, beliau percaya bahawa PPSMI mampu mengangkasakan bangsanya ke suatu tahap yang mungkin tidak terduga kita. Beliau berpandangan jauh.

Tiada guna saya menulis artikel yang panjang, kerana akhirnya ada pihak yang akan terus bermati-matian untuk memaksa kerajaan membuat keputusan yang salah.

Suara mereka didengar rakyat. Siapalah saya untuk rakyat mendengar suara hati kecil saya. Saya hanya antara berjuta pelajar yang sepatutnya menerima kebaikan, namun semua itu dicantas oleh pihak lain.

SUARA HATI,
Kuala Kangsar, Perak

Agak terkejut dan sedih juga apabila PPSMI akan dimansuhkan mulai 2012. Alasannya kerana ramai murid jadi lembap dalam Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris. Tapi adakah yang membangkang sebelum ini merupakan murid-murid atau ibu bapa mereka? Yang berpiket, bersyarah semuanya yang sudah habis belajar, tidak nampak pun murid-murid yang piket dan angkat kain rentang menentang PPSMI.

Yang belajar murid-murid ini, tapi kenapa murid-murid tua pula yang bantah? Kasihan kepada murid-murid ini nanti, begitu juga guru-guru yang telah dilatih dan dibayar elaun mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Dikhabarkan dengan pemansuhan ini maka pengajaran Matematik dan Sains akan diajar dalam bahasa ibunda semula. Maka orang Melayu akan diajar dalam bahasa Malaysia, orang Cina dalam bahasa Mandarin dan orang India dalam bahasa Tamil.

Saya hairan, bukankah setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM diumumkan, diberitahu bahawa pencapaian murid-murid dalam kes PPSMI ini bertambah baik? Tiba-tiba dimansuhkan pula?

Tapi apa pun ia sudah diumumkan untuk dimansuhkan pada 2012. Boleh diubahkah? Kalau tidak dimansuhkan alangkah baiknya.

Tapi yang pasti murid-murid tidak akan membantah kerana mereka tidak mengerti tujuan dibuat sesuatu polisi. Mereka itu hanya perlu belajar, jadi apa saja akan diikuti tanpa merungut.

ALCIHNOST@YAHOO.COM
Butterworth

- FORUM UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url