Tatu Tentera Darat meriah
Kira-kira 10,000 penduduk bandar raya ini menyerbu Stadium Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam tadi bagi menyaksikan persembahan Tatu Tentera Darat sempena ulang tahun ke-76 pasukan itu.
Sebahagian hadirin yang datang seawal pukul 8 malam itu terpaksa menyaksikan persembahan melalui skrin layar di luar stadium kerana bangunan tersebut hanya memuatkan kira-kira 5,000 tempat duduk.
Majlis yang bermula kira-kira pukul 8.45 malam itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Ahli-ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR): Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Ke-8 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Azizan Md. Delin.
Persembahan dimulakan dengan terjunan payung terjun oleh 12 askar dengan masing-masing membawa bendera Malaysia, Terengganu, lapan daerah di negeri ini selain bendera pasukan keselamatan tersebut.
Ia kemudian diikuti persembahan tempur tanpa senjata, kawat senyap dan operasi menyelamat orang kenamaan (VIP) dan anjing perang.
Para penonton turut terhibur dengan persembahan lagu dan formasi 200 anggota Tiga Divisyen Infantri.
Aksi akrobatik Tim Wira Merah Tentera Darat menunggang pelbagai jenis motosikal juga menarik perhatian hadirin.
Pada majlis tersebut, kerajaan negeri turut menghargai jasa bekas anggota tentera kelahiran Terengganu, Kapten (B) Hamid Awang kerana kejayaan menumpaskan pengganas komunis Kalimantan Utara di Lundu, Sarawak pada 7 April 1973.