Tokoh akademik mahu PPSMI dimansuhkan segera

Tokoh akademik mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dengan segera dan bukannya menunggu sehingga 2012.

Pemegang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, dasar itu perlu dimansuhkan dengan segera kerana PPSMI terbukti satu kesilapan.

'''Kenapa hendak tunggu sehingga 2012 baru nak dimansuhkan. Sesuatu dasar yang silap perlu ditamatkan dengan segera.

''Tidak timbul soal penganiayaan kepada pelajar dan guru yang telah melalui proses pembelajaran dan pengajaran dalam PPSMI kerana ilmu itu adalah kelebihan bagi mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas seminar Integrasi Nasional di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI selepas tujuh tahun dasar itu dilaksanakan sehingga menimbul pelbagai polimik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.

Tambah Zainal, pelajar dan guru yang telah mengikuti PPSMI tidak akan menghadapi sebarang masalah jika keputusan memansuhkan dasar itu dilaksanakan serta-merta.

Tegas beliau, langkah kerajaan melambatkan tempoh memansuhkan PPSMI hanya akan merendahkan lagi nilai ekonomi bahasa Melayu.

Turut bersetuju dengan desakan itu ialah Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Katanya, pelaksanaan dasar PPSMI adalah satu kesilapan besar kerajaan kerana membuat keputusan tanpa menimbang pandangan rakyat terlebih dahulu.

''Ini adalah pengajaran kepada kerajaan supaya tidak meminggirkan rakyat dalam membuat keputusan berhubung sesuatu dasar pada masa hadapan.

''Apatah lagi PPSMI mempunyai kaitan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Namun, saya tetap memuji kerajaan kerana berani mengakui kesilapan lalu," jelasnya.

Menurut Shamsul, langkah menguatkuasakan PPSMI dalam tempoh tiga tahun lagi adalah sesuatu yang merugikan pelajar Melayu terutamanya di kawasan luar bandar.

Pembangkang sambut baik pemansuhan

Pemimpin-pemimpin daripada pakatan pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa pada 2012.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Yusmadi Yusoff berkata, beliau menyokong penuh keputusan itu kerana partinya telah menanti-nantikan keputusan itu sejak sekian lama lagi.

Katanya, pihaknya menyeru kerajaan agar mengeluarkan kertas putih berhubung keputusan itu memandangkan pelaksanaan PPSMI sejak 2003 lalu telah memakan kos yang begitu banyak.

''Pengeluaran kertas putih itu dapat menerangkan matlamat utama pemansuhan PPSMI yang dilihat tidak mempunyai motif politik.

''Ia juga dapat memberi penjelasan secara telus kepada pihak-pihak yang tidak lagi berpuas hati dengan keputusan baru kerajaan itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan berhubung mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan yang akan diajar dalam bahasa Melayu berkuat kuasa pada 2012.

Manakala, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.

Tambah Yusmadi lagi, kini tanggungjawab kerajaan adalah memberi penjelasan tepat kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan orang ramai berhubung pemansuhan PPSMI tersebut.

''Tindakan itu akan membantu kerajaan untuk melaksanakan keputusan baru tanpa apa-apa halangan daripada beberapa pihak yang masih menyokong dasar PPSMI,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dasar yang baru diperkenalkan itu membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap masyarakat negara ini.

''Akhirnya kami berjaya dalam perjuangan kami. Inilah yang kami menanti-nantikan selama ini,'' jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Kabinet itu bukan penyelesaian mutlak kerana ia tidak bersifat serta-merta.

Menurutnya, apa yang perlu ialah keputusan yang berani melalui pendekatan pendidikan baru dengan matlamat untuk meningkatkan pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

''Tentu ada cara untuk capai matlamat ini setelah PPSMI gagal. Mungkin perlu ada cara yang berbeza kepada setiap aliran. Sebab murid SJKC mantap dalam Matematik dan Sains manakala untuk aliran kebangsaan lemah dalam ketiga-tiga subjek itu.

''Jadi perlu keputusan berani dan fleksibel ikut keperluan aliran. Ada tinjauan pendapat kata majoriti ibu bapa Melayu di bandar mahu PPSMI diteruskan, mungkin kita perlu fleksibel. Patut beri ibu bapa hak memilih PPSMI atau sebaliknya. Tak boleh tangguh sampai tiga tahun,'' ujarnya.

PAGE terkejut dengan keputusan PPSMI

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) merasa hampa dan terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, Datin Noor Azimah Abdul Karim berkata, keputusan itu bertentangan dengan kajian yang dibuatnya terhadap ibu bapa yang merujuk bahawa 95 peratus daripada mereka menyokong agar pelaksanaan PPSMI diteruskan.

Justeru beliau menegaskan agar kerajaan memberi pilihan kepada pihak sekolah dan ibu bapa sama ada untuk mengekalkan pelaksanaan tersebut di sekolah masing-masing.

''Kami akan merayu agar kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran memberi pelepasan kepada pihak sekolah yang mahu meneruskan pelaksanaan dasar tersebut kerana kami tahu banyak sekolah dan ibu bapa yang bersetuju agar PPSMI diteruskan," tegas beliau.

Katanya, secara logistik di pihak sekolah yang terlibat telah menunjukkan kelancaran pelaksanaan PPSMI itu.

Beliau berkata, PAGE telah dijemput oleh Kementerian Pelajaran untuk memberi pandangan semasa mesyuarat meja bulat sebanyak dua kali pada tahun lalu.

''Kali terakhir kami membentangkan dapatan kajian kami kepada ahli-ahli politik iaitu pada pertengahan bulan Oktober tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Seminar Kesedaran Keselamatan Internet di sini hari ini.

PAGE telah mengedarkan borang kaji selidik berjumlah 3,000 kepada pihak sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dan sejumlah 2,000 borang yang diisi menunjukkan 95 peratus menyokong pelaksanaan PPSMI untuk diteruskan.

Noor Azimah berkata, PAGE juga terkejut kerana semasa mesyuarat meja bulat itu tiada perbincangan mengenai pemansuhan PPSMI untuk sekolah-sekolah menengah.

Malah kata beliau, pihaknya turut mengusulkan jika berlaku pemansuhan, ia harus berlaku pada tahun 2016.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAGE, Mahiyuddin Abdul Rahman menegaskan bahawa sepatutnya keputusan mengenai masa depan pendidikan para pelajar terletak di tangan ibu bapa.

''Adakah jaminan daripada anak-anak kami pada masa hadapan mampu bersaing dan mendapat pekerjaan yang lebih terjamin di syarikat-syarikat swasta?" katanya.

PAGE turut menegaskan terdapat beberapa kekeliruan dalam kenyataan berhubung kejatuhan peratusan dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005 dan 2007 dan tidak boleh dikaitkan dengan pelaksanaan PPSMI.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pihaknya akur dengan keputusan kabinet itu tetapi akan merayu agar PPSMI dikekalkan untuk sekolah menengah.

''Kami ada tempoh lagi dua tahun untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan agar cadangan kami itu diteliti dan diterima,'' katanya.

Pada dasarnya beliau berkata, NUTP telah mencadangkan kepada kerajaan agar pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah rendah dimansuhkan manakala di peringkat sekolah menengah diteruskan.

''Bagaimanapun kami gembira kerajaan tidak membuat perubahan serta merta kerana sebarang perubahan memerlukan masa untuk penyesuaian,'' katanya.

Beliau juga berharap agar mata pelajaran bahasa Inggeris dimantapkan dengan memastikan guru-gurunya berkualiti dan cemerlang sama ada dalam pengajaran mahupun pertuturan.

Menurut Yim Pheng, NUTP juga akan mengadakan perbincangan dengan ahli-ahlinya berhubung keputusan kabinet itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url