Yayasan 1Malaysia dilancarkan

Yayasan 1Malaysia dilancarkan hari ini bagi membangun, menyokong dan mengetuai kegiatan-kegiatan serta program yang melibatkan semua rakyat Malaysia ke arah perpaduan nasional dan konsep 1Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Dr. Chandra Muzaffar berkata, yayasan berkenaan dinaungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami sangat gembira untuk mengumumkan bahawa Perdana Menteri bersetuju menjadi Penaung Yayasan 1Malaysia.

''Ini sememangnya satu penghormatan dan pengiktirafan awal kepada inisiatif ini," katanya pada sidang akhbar mengumumkan penubuhan yayasan itu di sini hari ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Seri Idris Jala, bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Presiden Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak, Prof. Emeritus Datuk Dr. K.J. Ratnam.

Ahli lain ialah Pengerusi Institut Kebangsaan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, Ketua Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS), Dr. Mahani Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Seri Tony Fernandes.

"Lembaga Pemegang Amanah diwakili sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dari segenap kaum, agama, jantina dan wilayah.

"Setiap anggota lembaga telah pun melibatkan diri dalam masyarakat sivil dan tekun dengan tugas dan peranan masing-masing," katanya.

Noorhaina Hirawani Mohd. Noor, 31, yang mempunyai latar belakang kewartawanan pula diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pertama Yayasan 1Malaysia.

"Walaupun agak muda, beliau merupakan seorang yang amat berpengalaman dan kita memang mahu mengalakkan golongan muda untuk memikul tanggungjawab seperti ini," katanya.

Kata beliau, Yayasan 1Malaysia adalah satu badan bebas yang tidak berasaskan keuntungan bagi menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan dan sektor swasta dalam membangun serta menyokong perpaduan nasional.

"Kita tidak terikat dengan mana-mana parti politik," katanya.

Menurutnya, yayasan berkenaan menerima pembiayaan daripada pihak swasta dan setakat ini sudah menerima janji penajaan sehingga RM2 juta.

Antara aktiviti penting yang diatur pihaknya, adalah mengalakkan diskusi berhubung isu-isu hubungan kaum secara rasional dan seimbang serta memberikan peluang kepada rakyat Malaysia menceritakan pengalaman yang boleh mencerminkan semangat 1Malaysia.

"Sebagai sebahagian daripada misinya untuk mempromosikan konsep 1Malaysia, pihak kami akan mengendalikan laman web www.1malaysia.org.my untuk mengerakkan program-program di peringkat akar umbi,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url