Bomba tangkap sawa batik 120kg


"Sejak berkhidmat sebagai anggota Bomba dan Penyelamat lebih 30 tahun, inilah ular sawa paling besar pernah saya temui," kata Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Hanafi Said mengenai ular sawa batik 120 kilogram yang ditangkap di Ladang Tebu, Bukit Nguan, Padang Sanai dekat sini, semalam.

Hanafi berkata, beliau bersama tiga anggotanya bergegas ke ladang itu selepas menerima panggilan seorang pemandu jentolak mengenai penemuan ular sawa sepanjang tujuh meter, jam 10.15 pagi semalam.

Ular sawa batik berwarna hijau tua kekuningan itu dijumpai pemandu jentolak sejak tiga hari lalu ketika dia sedang menjalankan kerja mengorek bagi membina tali air di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, ketika itu, pemandu jentolak mengusir ular itu menggunakan jentolak ketika reptilia itu sedang menjalar di bahagian depan jenteranya.

Pagi semalam, ular itu ditemui di kawasan sama, kali ini menjalar ke arah jentolak melalui tayar depan, seolah-olah mahu menyerang pemandunya.

"Dengan berat mencecah 120kg kami terpaksa menggunakan jentolak itu untuk memindahkan haiwan terbabit ke dalam jentera bomba," katanya.

Difahamkan ular sawa itu akan dihantar ke Taman Ular, Perlis untuk perlindungan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url