Pesawat rempuh menara kawalan di Thailand


Sebuah pesawat komersial tergelincir dari landasan dan merempuh menara kawalan lalu lintas udara di pusat peranginan Koh Samui semalam, menyebabkan juruterbangnya terbunuh, manakala 34 penumpang cedera, kata pegawai.

Ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Kanikka Kemawutanond berkata pembantu juruterbang dan enam yang lain cedera parah selepas pesawat Bangkok Air-ways itu mendarat ketika ribut dan merempuh menara lama di lapangan terbang terbabit.

"Kerosakan teruk berlaku di bahagian hadapan pesawat dan kokpit di mana juruterbang berada. Beliau terbunuh akibat rempuhan itu. Pembantu juruterbang yang turut terperangkap adalah orang terakhir dibawa keluar dari pesawat," katanya.

Kannika berkata semua penumpang lain disahkan selamat manakala mereka yang cedera dikejarkan ke lima hospital berhampiran. Kewarganegaraan semua mangsa belum diketahui sehingga kini.

Beliau berkata pesawat ATR72-500 itu membawa 68 penumpang, dua juruterbang serta dua anak kapal, dalam perjalanan dari Krabi, sebuah lagi pusat peranginan popular di selatan Thailand.

"Laporan awal menunjukkan kejadian berlaku ketika cuaca buruk dengan hujan lebat dan ribut. Kami tidak tahu apa yang dilakukan atau apa yang tidak dilakukan juruterbang sehingga menyebabkan kemalangan itu," katanya.

Kanikka berkata landasan di lapangan terbang Samui ditutup berikutan kejadian itu dan sekurang-kurangnya satu penerbangan Thai Airways dibatalkan.

Pesawat ATR72 buatan Itali-Perancis sudah terbabit di dalam beberapa nahas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2006 pesawat jenis itu tergelincir di landasan di Korea Selatan menyebabkan enam orang cedera. Dua tahun sebelum itu pesawat ATR72 Thai Airways terpaksa membawa keluar semua pesawatnya menggunakan pintu kecemasan, selepas gear pendaratan depannya terjatuh ketika mendarat di utara Thailand.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url