Guru besar miang
Seorang guru wanita sebuah sekolah rendah di negeri ini bukan saja trauma, malah hubungan dengan suaminya turut berkecamuk akibat tingkah laku terlampau seorang guru besar miang yang kerap melakukan gangguan seksual secara lisan kepadanya.
Keadaan itu bermula apabila guru besar berusia 50-an berkenaan memulakan tugas di sekolah itu, awal Julai lalu.
Guru wanita berusia 47 tahun terbabit berkata, dia tertekan hingga terpaksa mengambil cuti sakit tiga minggu kerana tekanan darah tinggi sejak berdepan dengan perangai guru besar terbabit.
Dia yang sudah 25 tahun dalam bidang perguruan menganggap peristiwa dialaminya sebagai memualkan kerana tindakan guru besar itu menjatuhkan maruah dan harga dirinya apabila gangguan dilakukan di depan guru dan kakitangan sekolah.
Katanya, walaupun gangguan seksual berkenaan tidak membabitkan fizikal, namun mimik muka guru besar berkenaan setiap kali mengganggunya dengan kata-kata membuatkan dia meluat dan tidak mampu berdepan dengan lelaki itu.
“Sebelum ini, saya tak beritahu suami mengenai perkara ini, tapi perangai guru besar makin menjadi-jadi menyebabkan saya tiada pilihan kerana bimbang suami mendapat maklumat kurang tepat mengenai apa yang berlaku.
“Malah, air mata saya sudah kering disebabkan menangis setiap hari mengenangkan tingkah laku buruknya kerana dia buat perkara ini di depan guru dan kakitangan lain. Di mana saya hendak letak maruah, nanti orang ingat saya pula yang gatal.
“Perkara ini sudah menjadi perbualan, malah tiga anak saya juga menyedari perubahan diri saya kerana tidak ceria seperti dulu,” katanya.
Guru wanita itu berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kandang, berhubung perkara terbabit, kelmarin.
Mangsa berkata, dia nekad membuat laporan polis kerana tidak mahu perkara itu turut dialami guru wanita lain jika perangai buruk guru besar berkenaan didiamkan saja.
Menurutnya, dia pernah memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Melaka Tengah pada 21 Julai lalu sebelum dipanjangkan ke Jabatan Pelajaran negeri dan menghantar laporan bertulis supaya siasatan dapat dilakukan.
“Guru besar berkenaan kemudian dipanggil. Pada mulanya dia enggan mengaku tapi selepas diberikan bukti akhirnya dia mengaku dan dinasihatkan meminta maaf kepada saya dan suami, tapi saya tidak boleh bertemunya lagi.
“Apa yang saya lakukan ini bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya kerana jabatan yang sebelum ini memaklumkan saya boleh memilih sekolah lain untuk ditukar tetapi tiba-tiba berlaku perubahan pada saat-saat akhir apabila tidak dibenarkan pula berbuat demikian.
“Saya kecewa dan menanggung derita kerana tidak mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan guru besar berkenaan tidak pula dikenakan tindakan disiplin dan hanya perlu meminta maaf,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan.
Katanya, siasatan kes itu akan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Kami perlu mendapatkan arahan untuk siasatan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
- HARIAN METRO