Pilihan raya kecil Permatang Pasir 25 Ogos 2009
Jika ada pertandingan, hari mengundi adalah pada 25 Ogos iaitu awal Ramadan.
Ia diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi selepas satu mesyuarat khas.
Dengan pengumuman itu, separuh daripada tempoh berkempen - selama lapan hari diperuntukkan - jatuh pada bulan puasa.
Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya mengadakan pilihan raya kecil lebih awal kali ini dengan mengambil kira kedatangan bulan Ramadan.
"Kita akan menghadapi bulan puasa, lepas itu hari raya," kata beliau sambil menambah, jika hendak diadakan selepas Aidilfitri masa tidak sesuai kerana tempoh 60 hari untuk adakan pilihan raya akan berakhir pada 29 September.
Lagi pun pemilihan tarikh ini juga mengambil kira cuti sekolah yang bermula 22 Ogos dan disusuli dengan sambutan Hari Kebangsaan.
"Kita ambil kira semua ini," katanya yang turut menarik perhatian bahawa ini bukan kali pertama pilihan raya kecil diadakan pada bulan Ramadan.
Pilihan raya kecil DUN Lunas diadakan ketika Ramadan pada November 2000 manakala pilihan raya umum negeri Sabah tahun 1994 juga ketika berpuasa.
Bulan Ramadan dijangka bermula 22 Ogos ini manakala 1 Syawal diramal jatuh pada 21 September.
Pilihan raya kecil sejak awal tahun ini diadakan selepas lebih sebulan kekosongan wujud. Ini termasuklah pilihan raya kecil DUN Penanti dan Manek Urai.
Bagaimanapun pilihan raya kecil ini diadakan dengan segera, kurang tidak minggu selepas kematian penyandang.
SPR mengumumkan bahawa keputusan pilihan raya akan diumumkan tepat pukul 8 malam pada hari pengundian.
"Mengambil kira bulan puasa, SPR memutuskan akan mengumumkan keputusan pilihan raya kecil ini tepat pukul 8 malam sama ada calon atau ejennya hadir atau tidak di pusat penjumlahan undi.
"Berdasarkan pengalaman kita masa-masa lalu, ada calon yang datang lebih sejam (selepas perjumlahan rasmi undi selesai). Kali ini keputusan akan diumumkan tepat pukul 8 malam jika tiada apa-apa masalah besar," katanya.
SEPINTAS LALU
- Jumlah pemilih berdaftar: 20,290 orang
- Jumlah pengundi pos: 1 orang
- Pecahan pengundi ikut kaum: Melayu (72.36%), Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%)
- Pusat penamaan calon: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam
- Pusat penjumlahan undi: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam
- Pusat mengundi: Lapan
- Saluran mengundi: 39
- Pegawai Pengurus: Roslan Yahaya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah
- MSTAR