Hairi - Juara Anak Wayang


Kemuncak pertandingan realiti pencarian bakat lakonan, Anak Wayang yang berlangsung baru-baru ini telah pun menemui juara sulungnya, seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd. Hairi Safwan Aznan atau Hairi.

Barangkali, inilah yang dikatakan rezeki.

Mengaplikasikan apa yang pernah dipelajarinya di Aswara ke pentas Anak Wayang, 'helah' pemuda berusia 21 tahun itu berjaya meyakinkan ribuan malah mungkin jutaan peminat rancangan itu untuk dinobatkan sebagai juara.

Pada pertandingan yang diadili oleh 100 peratus undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu, Hairi menerima undian sebanyak 58 peratus sementara Hafiz dengan 42 peratus.

Bagaimanapun, pada pentas akhir yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, rentak 'permainan' yang diketengahkan Hairi bukanlah menerima laluan semudah yang disangka.

Ini jelas sekali apabila pesaingnya, Hafiz Halim, seorang pelajar Universiti Multimedia yang juga berusia 21 tahun bijak mengawal lakonannya dalam ketiga-tiga segmen yang diberikan iaitu spontan, layar hijau dan rakaman VT.

Pun begitu, kebolehan Hairi mempamerkan riak emosi dalam lakonannya disifatkan oleh pengarah yang juga juri tetap pertandingan itu, Rashid Sibir, sebagai berjaya memberi 'rasa' kepada penonton.

"Pelakon yang baik adalah pelakon yang boleh memberi rasa kepada penontonnya dan di sini saya rasa Hairi boleh memberi rasa tersebut kepada seluruh peminat Anak Wayang," kata Rashid mengulas persembahan terakhir Hairi pada malam tersebut.

Dengan kemenangan tersebut, Hairi berjaya membawa pulang hadiah kereta Honda Jazz bernilai RM109,800, wang tunai RM10,000 dan tawaran berlakon dalam drama bersiri 68 episod, Senja Permai yang bakal ditayangkan di Astro Prima (saluran 105 Astro) tidak lama lagi.

Hairi turut menerima dua tiket penerbangan ke Los Angeles, kamera Canon model FS21, rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun dan trofi.

Hafiz yang menyusul di tempat kedua bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima hadiah wang tunai RM5,000, TV LCD 42 inci, kamera Canon model DC420 beserta trofi.

Ketika ditemui, Hairi mengakui saingan sengit dari segi undian antara dirinya dan Hafiz.

Apatah lagi pada minit-minit awal pertandingan itu, kedudukan undian yang dipaparkan jelas dikuasai oleh Hafiz ketika itu.

"Bagaimanapun, saya anggap ini satu persaingan yang sihat. Masing-masing ada kelebihan dan kelebihan yang ada pada Hafiz, dia boleh berfikir cepat dan bijak mencari tumpuan penonton," katanya.

Sebelum ini, Hairi berjaya merebut watak sebagai pengurus acara dalam drama bersiri Kerana Cintamu yang bersiaran di Astro Prima sejak Mei lalu.

Sedikit tenggelam ketika beraksi spontan dalam slot Riuh Pagi Di Era yang dibawa ke pentas Anak Wayang sedikit 'mencacatkan' persembahannya pada malam tersebut.

"Benar, saya akui ketika beraksi spontan dalam drama sebabak bersama Din Beramboi saya sedikit kelam kabut.

"Memang saya agak tenggelam sebab ia memerlukan idea spontan tanpa sebarang latihan sebelum itu," kata Hairi mengakui kelemahan diri.

Namun, kata Hairi, mujur dia mempunyai asas dalam bidang lakonan yang dipelajarinya di Aswara.

Sempat membuat pelbagai kajian dan tidak segan bertanya banyak membantu dia memahami dan membentuk karakter yang ingin dipersembahkan.

"Walaupun masa yang diberikan untuk setiap segmen begitu singkat namun cikgu-cikgu banyak mengajar agar menimbulkan rasa dalam lakonan.

"Saya suka berkongsi dan bertanya pendapat daripada orang lain dan jika maklum balasnya baik bermakna lakonan kita menjadi," jelas Hairi lagi.

Bagi Hafiz pula, hanya berpuas hati di tempat kedua tidak meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya. Akur dengan kehendak pengundi, menurutnya selagi boleh dia cuba menghormati keputusan itu.

"Tentang undian SMS, saya berpuas hati. Saya akur kerana saya melihat Hairi sebagai seorang pelakon yang hebat dan saya sangat mengagumi bakat yang ada padanya.

"Saya sendiri telah beri 100 peratus dalam persembahan saya malah, curahkan segalanya yang telah saya pelajari dalam Anak Wayang dan juga pengalaman saya sendiri .

"Ini keputusan yang adil bagi saya dan juga Hairi. Sebelum ini pun saya banyak minta tunjuk ajar daripada Hairi.

"Bagi saya, pertandingan pada malam ini bukan setakat pertandingan kami berdua sahaja malah, mewakili 23 lagi peserta Anak Wayang," kata Hafiz yang sebelum ini berjaya menempatkan diri dalam siri Kerana Cintamu sebagai konco samseng.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani pada pertemuan sama memberitahu, kedua-dua finalis Anak Wayang itu bakal diuruskan di bawah Astro Entertainment Sdn. Bhd., (AESB).

"Hairi akan terus diserapkan sebagai pelakon yang membintangi drama bersiri 60 episod, Senja Permai yang bakal bersiaran Disember ini.

"Ada beberapa watak yang turut menampilkan peserta-peserta Anak Wayang lain memandangkan ini merupakan siri yang disiarkan banyak hari dan memerlukan banyak watak yang keluar masuk.

"Bukan hanya melibatkan Hairi dan Hafiz sahaja tetapi peserta yang lain juga berpeluang untuk berlakon sama," katanya.

Bercerita tentang keberkesanan program tersebut dalam mencari bakat-bakat lakonan, kata Nizam, pihaknya berjaya mencungkil banyak bakat baru untuk mewarnai lagi lapangan lakonan negara.

"Walaupun juara ditentukan oleh undian SMS, tetapi untuk memilih lima peserta terbaik yang merebut watak dalam siri Kerana Cintamu ditentukan oleh juri.

"Untuk malam kemuncak ini pun, saingan dari segi undian dilihat begitu sengit dan penonton juga agak sukar memilih pemenang memandangkan jumlah peratusan antara 58 peratus dan 42 peratus tidaklah begitu besar," katanya.

Pertandingan yang julung kali diadakan itu berjaya menarik lebih 4,000 peserta menghadiri peringkat uji bakat bagaimanapun, hanya 25 peserta berjaya tersenarai sebagai peserta utama rancangan realiti berkonsepkan lakonan itu.

Daripada jumlah tersebut, lima orang daripada mereka berjaya merebut beberapa watak drama 50 episod, Kerana Cintamu yang bersiaran di Astro Prima sejak 22 Mei lalu.

Mereka terdiri daripada Hairi dan Hafiz, masing-masing dengan watak pengurus acara dan konco samseng. Tiga lagi watak ialah Ooi Nor Wen (pembantu peribadi), Nur Dayana Kamsun Baharin (jururawat) dan Afzan A. Rahman (mekanik).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url