Pas lancar kempen pecat Ronnie

Pas Selangor akan berkempen bagi mendesak kerajaan negeri memecat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikannya, Ronnie Liu berhubung isu arak dan maksiat di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, kempen itu akan melibatkan program penerangan, pengedaran risalah serta menaikkan beberapa kain rentang di seluruh negeri termasuk di masjid.

''Kita (Pas) akan mulakan kempen membantah dan mahu Ronnie Liu digugurkan daripada portfolio berkenaan kerana beliau secara terang-terangan mencampuri serta mengganggu tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

''Malah, tindakan beliau sebelum ini juga banyak mengguris perasaan umat Islam terutamanya di negeri ini.

"Maka, kita akan laksanakan kempen sama ada mulai malam ini atau pagi esok untuk menyatakan pendirian kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Roslan, kempen tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda Pas Selangor.

Semalam, Pas Selangor mendesak kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kawasan Pandamaran itu daripada barisan Exco.

Ini kerana Ronnie Liu dikatakan telah mengganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan yang terlibat.

Desakan itu dibuat ekoran beberapa aduan mengenai tindakan Ronnie termasuk campur tangannya dalam PBT serta mempertikai tindakan pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas arak di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8, di sini, 30 Julai lalu.

Malah, Ronnie Liu juga dikatakan turut menghubungi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan mempersoalkan tindakan PBT itu mengadakan operasi arak dan maksiat yang dilakukan bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bandar Sunway, Petaling Jaya beberapa hari lalu.

Tindakan itu tidak termasuk beberapa aduan yang dilaporkan melibatkan ADUN berkenaan atas kes yang sama di beberapa kawasan lain di Selangor termasuk di Ampang Jaya.

Dalam pada itu, Roslan ketika ditanya mengenai kesediaan pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai perhimpunan aman bagi mendesak pemecatan Ronnie Liu berkata, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

''Kita buat (perhimpunan), dan ada pihak lain nak sertai, kita tidak ada masalah. Malah, kita alu-alukan sebagai usaha kita untuk mempertahankan hak umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Mohd. Ghazali hari ini menyatakan keputusan bahawa pihaknya tidak akan menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh Pas.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan program berasingan bagi menyatakan pendirian mereka mendesak supaya Ronnie Liu dipecat daripada jawatan Exco kerajaan negeri.

''Kita telah buat keputusan bahawa tidak menyertai Pas untuk mengadakan perhimpunan untuk desakan itu. Sebaliknya, UMNO akan merancang program sendiri untuk tujuan itu.

''Malah, kita juga mungkin mendapatkan permit daripada polis untuk menganjurkan perhimpunan aman. Bagaimanapun, tindakan itu bergantung kepada keputusan mesyuarat Pemuda UMNO negeri," ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url