Liputan Maxis seluruh Kelantan

Maxis Communications Bhd. (Maxis), penyedia rangkaian telekomunikasi mudah alih negara akan memperluaskan perkhidmatan liputannya di seluruh Kelantan menjelang hujung tahun ini.

Ketua Wilayah Pantai Timur Maxis, Mazlan Mokhtar berkata, syarikat itu kini dalam proses menyediakan perkhidmatan berkenaan, termasuk di kawasan terpencil di negeri ini.

"Ia tentu sekali akan memudahkan kira-kira 400,000 pengguna di Kelantan, merangkumi kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Kelantan," katanya.

Beliau bercakap pada majlis pengumuman program Tambang Bas Percuma Dengan Hotlink yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.

Maxis menerusi Hotlink, jenama prabayarnya menawarkan bas tambang percuma sepanjang hari pada 8 Ogos ini kepada penduduk Kota Bharu sebagai memenuhi khidmat sosial syarikat itu.

Seramai 8,000 orang dijangka menggunakan khidmat 15 bas percuma yang disediakan, bermula di Stesen Bas Kota Baharu dan berulang-alik ke-11 laluan terpilih di sekitar Kota Baharu. Perkhidmatan itu bermula pukul 8 pagi hingga 7 malam hari yang sama.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama terhadap syarikat telekomunikasi untuk memperluaskan liputan dengan membina stesen-stesen pemancar mereka di seluruh negeri.

Kelantan juga menerusi anak syarikatnya, Infra Quest Sdn. Bhd., sentiasa membuka ruang untuk mengadakan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi yang berminat.

Beliau turut menyambut baik setiap promosi yang dilaksanakan di Kelantan, yang dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan negeri itu.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url