Singapura puji PDRM

Kerajaan Singapura memuji langkah yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan demonstrasi haram. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan timbalannya, Wong Kan Seng yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di negara republik itu semalam.

Musa berkata, Singapura menyifatkan pendekatan PDRM menangani perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu lalu itu sebagai profesional kerana tidak menggunakan kekerasan fizikal.

"Malah, PDRM dipuji kerana menggunakan semburan air untuk menyuraikan orang ramai yang terlibat dalam demonstrasi selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam menghadapi sesuatu perhimpunan haram. Ia disambut baik oleh pihak penguat kuasa Singapura," katanya.

Musa yang baru tiba dari Singapura selepas menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang Singapura daripada Presiden republik itu, S. R. Nathan berkata demikian pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ketibaan Musa disambut oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin; Pengarah JSJ Narkotik, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin; dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Musa berkata, pertemuan itu turut menyentuh mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak untuk membendung pelbagai masalah jenayah antaranya jenayah merentasi sempadan seperti kegiatan penyeludupan manusia, pengubahan wang haram serta kegiatan ah long.

"Banyak perkara dipersetujui dalam pertemuan berkenaan dan PDRM amat berharap akan wujud satu persefahaman yang lebih kukuh di antara kedua-dua pasukan polis.

"Kita juga akan mengadakan latihan bersama dari segi penyiasatan, pengurusan kepolisan dan cara-cara mengendalikan ketenteraman awam," jelasnya.

Mengenai penganugerahan darjah tertinggi oleh Kerajaan Singapura, kata Musa, ia merupakan satu pengiktirafan yang tinggi bukan untuk dirinya sahaja, tetapi untuk semua warga PDRM.

Tambahnya, beliau bersyukur menerima pengiktirafan itu kerana anugerah tersebut agak jarang diberikan kepada mana-mana penjawat awam di negara ini.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url