MB Selangor tolak syor Pas isu arak

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menolak cadangan Pas negeri itu yang meminta kerajaan negeri mengharamkan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam.

Sebagai alternatif, peniaga diminta mengguna pakai sistem kawalan sendiri dengan tidak menjual minuman keras kepada orang Islam dan mereka di bawah umur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu diambil kerana Selangor sudah mempunyai peraturan yang mencukupi dan tidak memerlukan peraturan atau garis panduan baru.

"Kita tak perlu (draf cadangan Pas). Kita sudah banyak undang-undang yang menunjukkan kita membangun bersama, menghormati ahli perniagaan dan faham budaya serta agama," katanya selepas pertemuan hampir dua jam dengan wakil kedai serbaneka 7-Eleven dan pasar raya KK Mart serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini semalam.

Pas sebelum ini dilaporkan mengemukakan draf peraturan penjualan minuman keras untuk diguna pakai di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu bagi mengawal penjualan minuman keras kepada orang Islam dan mereka di bawah umur.

Antara kandungan draf itu ialah tidak membenarkan kedai serbaneka menjual minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi.

Abdul Khalid juga berkata, sebagai permulaan sebanyak 17 rangkaian kedai 7-Eleven yang mempunyai mekanisme peraturan jualan akan menguatkuasakan sistem kawalan sendiri di Seksyen 1 hingga Seksyen 24, di sini.

Beliau berkata, sebelum ini tiada peraturan tidak membenarkan minuman keras dijual di kawasan orang Islam, tetapi pengendali premis menggunakan mekanisme peraturan sendiri untuk tidak menjualnya kepada orang Islam dan kanak-kanak.

"Kita berpendapat konsep self regulation (kawalan sendiri) patut digunakan. Penjual sekarang faham kehendak pengguna di Shah Alam yang mahu minuman keras tidak dijual kepada mereka yang tak sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas membantah keputusan itu dan menganggap ia tidak menghiraukan sensitiviti orang Islam.

Ketuanya, Datuk Harun Taib, berkata langkah menyerahkan kepada budi bicara peniaga berasakan kesedaran mereka sendiri adalah tidak wajar.

"Saya tidak pernah mendengar orang buat macam itu. Perkara itu tidak boleh diserahkan kepada budi bicara. Tindakan itu lebih kepada melukakan hati dan perasaan orang Islam.

"Kita membenarkan penjualan arak di kawasan majoriti umat Islam dan apabila umat Islam minum arak, kita hukum mereka sedangkan kita benarkan penjualannya," katanya ketika diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan pula mahu kerajaan negeri Selangor melaksanakan penjualan arak di negeri itu mengikut syariah Islam yang menggariskan panduan sempurna untuk semua bangsa dan agama.

"Pemuda Pas berpendirian dan mencadangkan kerajaan Selangor melaksanakan undang-undang berdasarkan syariah Islam. Ini kerana undang-undang syariah Islam sudah mengambil kira semua puak serta kaum dan kelonggaran kepada bukan Muslim untuk meminum, membeli atau memprosesnya tetap ada," katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan itu.

"Kita mahu tahu apa yang dimaksudkannya sama ada ia akan berterusan atau kerajaan ada mekanisme lain bagi menangani isu itu," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url