Adun Terengganu dibebas dengan jaminan


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahad lalu kerana meminta habuan daripada sebuah syarikat swasta, dibebaskan semalam dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Dalam prosiding dalam kamar, Hakim Mahkamah Sesyen Rofiah Mohamad, mengarahkan Adun itu bersama dua rakan yang dikatakan sebagai ejennya, dilepaskan dengan ikat jamin dengan seorang penjamin setiap seorang.

Rofiah menetapkan jaminan RM5,000 setiap seorang dan mengenakan syarat perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Prosiding diadakan dalam kamar kerana Jumaat adalah hari cuti di Terengganu dan tempoh reman terhadap mereka juga berakhir, semalam.

Sementara itu, peguam bela Adun berkenaan, Syed Azimal Syed Abu Bakar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, sebelum prosiding anak guamnya dibawa ke Hospital Daerah Kemaman untuk pemeriksaan kerana mengadu sakit dada.

Dua lagi rakan Adun itu diwakili peguam Mohd Hisham Abdul Rahim.

Ketiga-tiga mereka tiba di mahkamah jam 10.45 pagi menaiki tiga kenderaan dan dua daripada mereka termasuk Adun dilihat memakai topeng penutup muka dan topi. Semua mereka dilihat meninggalkan mahkamah jam 11.30 pagi.

Pekarangan mahkamah turut dipenuhi dengan penyokong dan keluarga ketiga-tiga mereka.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url