Menara telekomunikasi tumbang


Menara telekomunikasi jalur lebar di Kampung Chagar Batang, dekat Pasir Akar, Besut, tumbang menghempap dan meranapkan sebahagian bangunan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Ahad lalu.

Menara setinggi 35 meter itu baru siap akhir tahun lalu tumbang jam 6.30 petang ketika angin kencang dan hujan lebat, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad, berkata ketika kejadian pejabat DUN berkenaan sudah ditutup dan kerugian dianggarkan bernilai RM50,000.

"Petang itu angin agak kencang, tetapi kami tidak menyangka menara yang sepatutnya berdiri kukuh itu tumbang, sedangkan atap rumah penduduk di kawasan berhampiran pun tidak ada yang terbang atau tercabut seperti yang biasa berlaku ketika ribut.

"Saya mengesyaki menara itu tumbang berikutan pembinaannya tidak kukuh. Kita kesal kerana ia baru siap akhir tahun lalu dan tidak sampai setahun ia sudah tumbang," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata, beliau sudah mengarahkan Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) menyiasat punca runtuhan menara yang dibina kontraktor tempatan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url