Tinjauan Blog - Antara Muslim ekstremis dan India Muslim

Kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang menggelarkan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang seorang Melayu sebagai Muslim pelampau (ekstremis) kerana menjadi ahli Jemaah Islamiah Malaysia (JIM) mendapat reaksi segera di kalangan penulis blog.

Nasrudin Hassan Tantawi dalam Episod Sebuah Perjuangan (episodeperjuangan.blogspot.com) pada 5 Ogos, memberikan peringatan kepada Ooi supaya tidak keterlaluan dalam membuat kenyataan.

Tulis Ketua Angkatan Muda Pas itu, ini kerana ia boleh menyinggung umat Islam dan menonjolkan sikap pemimpin tersebut yang bersikap prejudis terhadap Islam.

"Asas dan prinsip seorang Muslim dan pergerakan Islam membentuk cita-cita untuk melaksanakan syariat Islam dan sememangnya Islam itu adil untuk semua. Justeru, prinsip tersebut tidak membawa maksud ia ekstrem sebagaimana yang didakwa.

"Jika Islam tidak benar, sila buktikan di mana tidak benarnya. Jika berpegang dengan ajaran Islam itu adalah ekstrem maka apakah implikasinya?

Apalagi yang menghantui pemikiran beliau mengenai Islam atau beliau masih mengalami Islamophobia hasil propaganda Barat dan konco-konconya," tulis beliau.

Nasrudin berkata, Ooi tidak seharusnya memandang Islam daripada perspektif musuh-musuh Islam seperti Barat, golongan Islam liberal dan pelampau tetapi sebaliknya merujuk terlebih dahulu khususnya berkaitan dengan dasar dan prinsip Islam.

Zulkifli Nordin (zul4kulim.blogspot.com) pada 3 Ogos pula membidas Ooi dan menganggap kenyataan rakannya dalam pakatan pembangkang itu sebagai seorang yang terlalu dangkal dan bodoh kerana keangkuhan yang melampau.

"Menuduh seseorang Muslim sebagai ekstremis kerana 'bercita-cita untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya' adalah satu pertuduhan yang biadap dan melampau.

"Setiap Muslim yang beriman sama ada di Malaysia atau di mana juga di dunia sudah pasti akan mempunyai cita-cita seperti itu. Hanya cara dan mekanisme untuk mencapainya sahaja yang berbeza," tulis beliau.

Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim itu menulis, sikap yang ditunjukkan oleh Ooi melalui kenyataan tersebut menyerlahkan sikap beliau sendiri sebagai seorang yang ekstremis dan cauvanis.

Beliau khuatir sikap Islamophobia dan prejudis terhadap Islam dan umatnya yang ditunjukkan oleh pimpinan DAP seperti Ooi akan membawa kesan negatif kepada usaha untuk memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan di antara agama di negara ini.

Penulis blog Senja Liza (senjaliza.blogspot.com) pada 6 Ogos pula menganggap kenyataan Ooi sebagai melampau kerana mengaitkan syariah Islam dengan kegiatan pengganas.

"Pas yang sekian lama tertekan dengan sikap dan kerenah pemimpin DAP seharusnya membuat pendirian yang tegas. Apakah pemimpin dan ahli-ahli Pas semakin ghairah dan bersorak dengan gah apabila isu ini dibangkitkan?" tulis penulis ini.

Azrinizam Abdullah dalam Angin Perubahan (anginperubahan.blogspot.com) pada 6 Ogos menulis, kenapa perlu Pas melenting dengan kenyataan Ooi sedangkan suatu ketika dahulu Pas sering membawa pemimpin-pemimpin ini ke majlis-majlis mereka.

"Inilah akibatnya Pas berkawan dengan DAP. Lama-kelamaan DAP lupa kawan sendiri. Apakah Pas silap pilih kawan? Kalau bersatu dan kuat, DAP tidak akan berani buat tindakan kurang ajar sebegini," tulis beliau.

Tulis lagi, DAP telah menyelar syariah Islam sebagai ekstremis manakala di Selangor, DAP sudah menghalang operasi membasmi arak dan maksiat oleh pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya dipertahankan oleh Menteri Besarnya.

"Dulu kata hendak laksanakan amal maaruf, nahi-mungkar, sekarang ini wakil rakyat berbogel dan bersekedudukan dibela, bir dikatakan bukan minuman keras dan syariah Islam dicaci sebagai pelampau.

"Padahnya mengundi DAP. Jangan menyesal kalau DAP buat perkara yang lebih teruk lagi selepas ini. Buat orang-orang Pas, berkawanlah lagi dengan DAP, banyak untungnya bukan?" bidas penulis.

Sementara itu, Zainol Abideen dalam Mahaguru 58 (mahaguru58.blogspot.com) pada 5 Ogos mengulas tulisan Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam Mingguan Malaysia 2 Ogos lalu berkaitan pengalaman seorang bukan Melayu yang kemudian memeluk Islam dipandang serong oleh bangsa sendiri apabila memperjuangkan kebenaran.

"Kadang-kadang pandangan dan pendapat saya (seorang India Muslim) tidak disenangi oleh segelintir mereka yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan berasa diri mereka terlalu suci, maksum dan merasakan 'mamak' ini ingin melampaui mereka yang Melayu itu sendiri.

"Apakah mereka kira diri mereka itu terlalu tinggi sehingga mereka sanggup menghina sesama manusia?" tulis beliau.

Sedangkan, kata beliau, dirinya juga sayangkan agama yang dianuti dan tanah air yang didiami tetapi mereka seolah-olah memperlekeh tentang hasrat murni beliau sebagai seorang rakyat Malaysia beragama Islam.

"Mereka yang merasakan diri terlalu tinggi darjat itu sebenarnya tidak akan sampai setaraf dengan debu di kaki Saidina Bilal dan para sahabat Rasullullah yang lain!

"Apakah mereka yang mengaku Melayu ini lupa bahawa di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, siapakah yang menjadi Perdana Menteri atau Bendahara Melaka?" tulis beliau.

Senada dengan luahan Ridhuan Tee, beliau meminta agar umat Islam di negara ini tidak alpa dengan apa yang sedang berlaku dan menggesa akidah ummah dipertahankan.

"Bersatu merapatkan saf, mengemaskan ikatan menghadapi para petualang durjana yang menyamar bagaikan biri-biri sedangkan mereka bersifat bagaikan sang serigala yang hanya menanti masa membaham segala yang ada," tulisnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url