OUM perkenal M-Learning mudahkan proses belajar

Kira-kira 4,000 pelajar baru Open University Malaysia (OUM) menjadi pelopor kaedah pembelajaran terkini, Mobile Learning (M-Learning) yang dilaksanakan universiti itu mulai tahun ini.

Timbalan Presiden Kanannya, Prof Dr Mansor Fadzil, berkata kaedah baru itu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran menerusi penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS).

Kandungan SMS, beliau berkata, antaranya berkaitan peringatan, kandungan modul pembelajaran dan motivasi kepada pelajar.

Katanya, 2,000 pelajar baru semester Mei sedang menikmati kemudahan percuma itu bagi kursus wajib Learning Skills for Open and Distance Learners.

Sambil menjelaskan 2,000 lagi adalah pelajar baru ambilan September ini, beliau berkata, pelaksanaan itu juga akan diperluas kepada satu lagi kursus wajib, iaitu English For Written, mulai bulan depan.

“M-Learning adalah perkhidmatan nilai tambah terbaru bagi pelajar OUM dan ia adalah percuma. Kos pelaksanaan keseluruhan kira-kira RM10,000 ditanggung universiti.

“Pelaksanaannya membolehkan universiti sentiasa berhubung dengan pelajar dengan mudah menerusi penghantaran SMS. Langkah ini wajar kerana hampir keseluruhan mereka golongan bekerja dan mempunyai masa terhad.

“Kebanyakan pelajar memberi maklum balas positif seperti ia bermanfaat mengingatkan mereka mengenai tugasan perlu disiapkan, tarikh peperiksaan dan modul pembelajaran,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum pelaksanaan kaedah itu, Mansor berkata, kajian menyeluruh dijalankan termasuk jumlah pelajar mempunyai telefon bimbit; waktu, kekerapan dan kandungan SMS diterima.

Antara hasil kajian, katanya, pelajar tidak mahu menerima terlalu banyak SMS dan mahu ia diterima selepas waktu bekerja.

“Justeru, hanya dua hingga tiga SMS dihantar dalam seminggu selepas jam 8 malam.

“Sejak Mei hingga bulan lalu, 29 SMS dihantar kepada 2,000 pelajar terbabit. Jika terpadam, ia boleh dibaca dalam laman web sosial Twitter.com/oumh1103,” katanya.

Beliau berkata, bagi kursus English For Written, antara SMS akan dihantar ialah perbendaharaan kata, cadangan laman web dan bahan bacaan untuk menguasai bahasa Inggeris serta topik dibincangkan dalam forum.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url