Penangan bibik
Akibat diserang ‘angau’, rumah tangga datuk itu porak-peranda sehingga kehidupan isteri keduanya menjadi tidak menentu, malah terpaksa berniaga kecil-kecilan bagi menampung tunggakan pinjaman rumah dan bil air serta elektrik.
Semuanya berlaku selepas suaminya yang mencecah usia 59 tahun lebih selesa menghabiskan masa bersama wanita warga asing berusia 40 tahun berkenaan.
Isteri kedua kontraktor itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ann, 52, berkata suaminya diperkenalkan dengan wanita warga asing itu oleh serang rakan sekitar 2006.
“Wanita itu kemudian diambil bekerja sebagai pembantu rumah di rumah isteri pertama. Namun, tidak lama kemudian, kami menyedari suami kami menjalinkan hubungan sulit selepas anak kami beberapa kali terserempak mereka berdua-duaan dalam bilik setiap kali mempunyai kesempatan,” katanya ketika ditemui di Kota Kemuning di sini, semalam.
Menurut Ann, perbuatan suaminya semakin melampau sejak Jun tahun lalu apabila langsung tidak menjenguk anak kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama wanita terbabit.
“Selepas hubungan mereka terbongkar, suami memindahkan pembantu rumah itu tinggal di sebuah flet berhampiran Kota Kemuning dan mengambilnya bekerja sebagai tukang sapu di pejabatnya.
“Sejak itu, dia semakin alpa dengan tanggungjawab. Jika dulu dia bergilir-gilir ke rumah isteri pertama dan saya, namun selepas berkenalan dengan wanita itu suami semakin kurang menunaikan tanggungjawab.
“Hutang pinjaman rumah tertunggak dan bil (air dan elektrik) tidak berbayar. Kebanyakan masa dihabiskan dengan wanita itu sehingga menjadi buah mulut penduduk setempat menyebabkan saya dan anak malu,” katanya.
Ann berkata, hasil perkongsian hidup dengan suaminya itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, namun disebabkan penyakit angau yang menyerang lelaki berkenaan, kehidupan keluarganya kini langsung tidak dipeduli.
“Saya sebelum itu sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak lelaki, jadi saya tak terasa sangat apabila dia tak peduli anak tirinya kerana mereka sudah besar dan mempunyai kerjaya tapi apabila darah daging sendiri diabaikan sehingga menyebabkan pelajarannya terganggu, saya tidak boleh berdiam diri.
“Saya dan seorang anak lelaki pernah cuba bersemuka dengannya di pejabat syarikat, namun kami dihalang pekerja yang mengugut mahu memukul kami menyebabkan satu laporan polis dibuat,” katanya.
Menurutnya, dia tidak tahu sama ada suaminya terkena buatan wanita warga asing itu tetapi tidak menolak kemungkinan itu kerana perubahan sikapnya terlalu ketara.
“Sekarang dia bukan saja menggaji wanita terbabit, malah kaum kerabat wanita itu turut diambil bekerja. Pada masa sama apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti rumahnya disimbah cat, dia menuduh ia kerja anak saya,” katanya.
Ann berkata, disebabkan tidak tahan diperlakukan sedemikian, dia nekad mahu menyaman suaminya kerana mengabaikan tanggungjawab.
“Pada awal perkahwinan kami, dia berjanji macam-macam untuk menjaga keluarga saya, malah saya banyak membantunya membuka syarikat kontraktor miliknya sekarang. Kini selepas jatuh cinta dengan wanita itu, kami semua diabaikan malah setiap kali cuba meminta bantuannya, semua ‘kebaikannya’ diungkit seolah-olah kami sangat terhutang budi dengannya,” katanya.
Menurutnya, kes saman terhadap suaminya itu akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Klang 25 Ogos ini.
“Saya terpaksa berbuat demikian bagi mendapatkan keadilan di pihak saya dan anak yang terus diabai suami,” katanya.
- HARIAN METRO