Pelajaran di sekolah terganggu

Sejak April lalu, dunia digemparkan dengan kematian berpuluh penduduk di Mexico akibat sejenis virus selesema babi atau wabak Influenza A (H1N1) sehingga memaksa pihak berkuasa negara itu menutup sekolah, muzium, perpustakaan dan teater.

Ia disusuli dengan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Jepun.

Rentetan wabak itu turut mengancam Malaysia apabila 1,429 kes dengan 14 kematian dilaporkan.

Daripada jumlah itu, 574 atau 38 peratus adalah kes import manakala 917 kes atau 62 peratus jangkitan tempatan.

Sebanyak 1,421 kes atau 95 peratus pesakit sembuh dan sehingga kini seramai 11 pesakit masih dirawat di ICU manakala 43 kes menerima rawatan antiviral di wad isolasi.

Daripada 14 kematian, sebanyak 12 kes membabitkan mereka yang berisiko tinggi seperti ibu mengandung, obesiti, asma, diabetes, imuniti rendah dan sakit jantung.

Wabak itu bukan sahaja menimbulkan panik di seluruh dunia, malah di negara ini.

Kerajaan turut mengambil langkah drastik menutup sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengelak penularan jangkitan virus.

Sebanyak 115 sekolah di seluruh negara ditutup manakala

IPT yang terbabit ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Masyarakat faham penutupan sekolah dan IPT memang tidak dapat dielakkan, tetapi bagaimana dengan sistem pembelajaran pelajar?

Apakah dengan penutupan itu menganggu sistem operasi dan pembelajaran. Bagaimana pula dengan cuti semester dan nasib pelajar luar negara yang menuntut di IPT?

Yang dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata penutupan beberapa sekolah memang menjejaskan pembelajaran pelajar.

Beliau berkata, ia lebih ketara apabila penutupan sekolah itu ketika musim peperiksaan percubaan pertama untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Bagaimanapun, kerajaan membuat keputusan tepat bagi menjamin keselamatan pelajar dan mengelak wabak itu merebak.

“Penutupan beberapa sekolah di seluruh negara memang menjejaskan jadual pembelajaran pelajar kerana sesi pembelajaran di sekolah tidak boleh kurang daripada 190 hari persekolahan.

“Jadi, dengan penutupan sekolah selama seminggu, ia menjejaskan sesi persekolahan yang ditetapkan,” katanya.

Justeru, Azam berkata, dalam hal ini, pihak sekolah perlu menyusun semula jadual selain mengadakan kelas ganti untuk hari persekolahan ketika cuti seminggu.

“Selain itu, guru juga perlu lebih agresif untuk memastikan pelajar terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan besar tahun ini mengikuti semua kelas dan menghabiskan semua topik yang ada.

“Ia bagi memastikan mereka bersedia untuk menempuhi peperiksaan itu kelak,” katanya.

Bagi mengatasi penyebaran wabak ini semakin meluas, ibu bapa, masyarakat dan pihak sekolah terutama guru perlu memastikan kebersihan anak-anak serta kawasan sekitaran di jaga.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor, Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Dr Ahmad Ridzuan Abd Rahman, berkata penutupan beberapa IPT disebabkan wabak H1N1 tidak menjejaskan pembelajaran pelajar.

Beliau berkata, kebanyakan IPT yang diarahkan tutup termasuk UiTM menjadikan cuti seminggu itu sebagai cuti pertengahan semester.

“Apabila diarahkan tutup, kita menganggap ia cuti pertengahan semester yang dijadualkan Oktober ini.

“Justeru, ibu bapa jangan melatah kerana ia tidak memberi masalah terutama dalam sesi pembelajaran,” katanya.

Menurutnya, dengan tindakan mempercepatkan cuti pertengahan semester itu, ia akan menyebabkan pelajar akan belajar dalam masa yang agak lama sebelum cuti semester.

“Namun, langkah ini adalah yang terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar apatah lagi wabak itu sudah meragut 14 nyawa,” katanya.

Bercakap mengenai keperluan mengadakan kelas tambahan, Dr Ridzuan berkata ia terpulang terpulang kepada pensyarah atau fakulti masing-masing.

“Jika mereka merasakan waktu kuliah tidak mencukupi, mengadakan kelas tambahan adalah langkah terbaik,” katanya.

>Info

BILANGAN SEKOLAH YANG DITUTUP MENGIKUT NEGERI:

Selangor: 23

Sarawak: 20

Melaka: 20

Kuala Lumpur : 9

Pahang: 8

Sabah: 7

Johor: 7

Pulau Pinang: 5

Perak: 5

Negeri Sembilan: 4

Labuan: 3

Kedah: 2

Kelantan: 1

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url