Rawatan percuma henti merokok

Orang ramai yang berhasrat untuk berhenti merokok kini boleh mendapatkan khidmat rawatan secara percuma di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur di sini.

Profesor Pergigian Pencegahan UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Dr Rahimah Abdul Kadir, berkata klinik itu merawat mereka yang ingin membuang tabiat merokok di samping memperkenalkan amalan gaya hidup sihat.

"Biasanya pesakit yang datang mendapatkan rawatan gigi di sini akan ditanya oleh doktor sekiranya mereka berhasrat untuk berhenti merokok dan dari situ pesakit itu akan diberikan rawatan untuk menghentikan tabiat itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian klinik itu, semalam.

Majlis perasmian klinik itu disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Perkhidmatan Klinikal) Pakar Perunding Anestesiologi & Rawatan Intensif di Pusat Perubatan UKM, Prof Madya Dr Jaafar Md Zin.

Dr Rahimah berkata, ramai perokok mempunyai keinginan untuk berhenti merokok, namun tidak mengetahui saluran dan cara untuk menangani ketagihan itu.

"Statistik 2008 menunjukkan lebih 60 pesakit gigi yang merokok mendapatkan rawatan untuk berhenti merokok di sini," katanya.

Dr Rahimah berkata, empat doktor gigi yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan awam akan mengendalikan perokok menggunakan kaedah Terapi Penggantian Nikotin kepada perokok, sama ada dalam bentuk penggunaan gula-gula getah, koyok dan penyedut.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url