Top Ad 728x90

Sarang peluru


Puluhan serpihan peluru masih tertanam di tubuhnya sejak 31 tahun lalu, tetapi seorang pesara polis masih hidup hingga kini.

Malah, peluru terbabit kini sudah sebati dengan darah daging Zakaria Sabtu, 62.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu berkata, serpihan peluru berkenaan berterabur menusuk tubuhnya termasuk di dada dan rusuk lengan kiri ketika berbalas tembak dengan ketua lanun ganas digelar Raja Laut di Pulau Sangga Kecil di perairan Perak pada 1 Mei 1978.

Zakaria berkata, kejadian berkenaan masih terpahat di hatinya hingga kini.

“Detik mencemaskan itu berlaku ketika operasi beberapa anggota UTK menyerbu sarang persembunyian Raja Laut atau nama sebenarnya, Tan Kuan Seah.

“Pada hari ke-10 operasi, berlaku kejadian berbalas tembak antara saya dan ketua penjenayah terbabit yang didakwa memiliki ilmu ghaib pada jarak kurang dari tiga meter.

“Ketika detik cemas itu, raifal Sniper HK-G3 yang saya gunakan saya selama tiga tahun tiba-tiba tidak meletup kerana kelongsong peluru tersangkut menyebabkan Raja Laut yang menggunakan senjata M16 melepaskan tembakan pada saya hingga dia kehabisan peluru,” katanya.

Zakaria yang menamatkan perkhidmatannya di Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Timur berkata, misteri peluru yang berkecai menjadi serpihan dan masih tertanam dalam tubuhnya terus menghantuinya hingga kini berikutan menimbulkan pelbagai kesulitan.

“Doktor berjaya mengeluarkan beberapa butir peluru di leher dan anggota badan lain dalam tiga pembedahan.

“Bagaimanapun, puluhan serpihan peluru yang berkecai itu masih tidak dapat dikeluarkan hingga kini,” katanya.

Menurutnya, beberapa doktor yang ditemui bagi mendapatkan rawatan juga menasihatinya supaya membiarkan peluru itu dalam tubuhnya.

Akibatnya, keadaan kesihatannya kerap terjejas terutama badan terasa sengal jika hujan dan cuaca sejuk.

“Jika serpihan peluru itu dikeluarkan, doktor khuatir saya terdedah pada jangkitan kuman yang boleh mengakibatkan komplikasi lain.

“Malah, ada doktor menyatakan walaupun serpihan peluru itu mengandungi timah, ia sudah sebati dengan badan saya.

“Keadaan ini membimbangkan saya yang mempunyai tiga cahaya mata termasuk seorang masih berusia enam tahun dan perlu menyara isteri dengan pencen RM1,200 sebulan,” katanya yang pernah dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Zakaria berkata, akibat kejadian itu, dia turut mengalami masalah pendengaran.

“Biarpun ada pihak mempertikaikan kerosakan senjata saya, namun pertempuran itu dianggap sebagai ‘merdeka’ bagi penduduk di perairan Perak.

“Ia berikutan mereka kini hidup aman selepas bebas daripada cengkaman ketua lanun itu walaupun Raja Laut berjaya meloloskan diri hingga kini,” katanya yang pernah menerima sumbangan daripada Tabung Pertahanan Negara RM2,000.

- HARIAN METRO

2 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90