Top Ad 728x90

Wajah bangsa Malaysia

Setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan, banyak program berunsur patriotik diterbitkan khas bagi menyemarakkan semangat cinta negara. Melihat semua program-program itu, banyak antaranya mengutarakan isu, intipati dan pengolahan sama yang mungkin sudah klise kepada penonton.

Malah mungkin disebabkan itu, program-program yang sarat dengan mesej itu kurang dihargai audiens. Bagi menonjolkan kelainan, saluran Discovery Networks Asia-Pacific dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Kementerian Komunikasi, Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan menghasilkan empat dokumentari khas sempena sambutan kemerdekaan ke-52 ini.

Menariknya keempat-empat dokumentari sepanjang 30 minit itu tidak menyentuh sebarang sentimen kemerdekaan tetapi memaparkan empat kisah mengenai masyarakat Malaysia yang jarang dilihat di kaca televisyen.

Bagi lebih mendekati hati audiens, dokumentari-dokumentari itu dihasilkan oleh rata-rata pembikin filem yang bukannya dari arus komersial.

"Kisah-kisah yang dipaparkan menekankan sudut individu, lokasi, peristiwa yang mampu memberikan inspirasi. Kami mahu membuka ruang cerita berlainan dengan memaparkan kisah-kisah masyarakat yang lebih bersifat realisitik.

"Bukan sahaja menyelitkan kisah hidup, banyak informasi turut dipaparkan selain daripada menonjolkan keunikan Malaysia," kata Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim pada majlis pelancaran Eye On Malaysia baru-baru ini.

Kerjasama kedua itu yang diteruskan selepas kejayaan First Time Filmmakers Malaysia (FTFM) yang dilancarkan pada tahun 2006. Gandingan itu bukan sahaja mampu menyajikan produk bertaraf dunia kepada audiens tempatan bahkan memberi banyak faedah kepada pembikin filem Malaysia.

"Menerusi kerjasama itu, karyawan tempatan berpeluang untuk menimba pengalaman, pendedahan dan tunjuk ajar dalam mencapai standard dokumentari antarabangsa. Ditambah dengan negara kita yang kaya dengan pelbagai kisah menarik, ia adalah salah satu platform memperkenalkan Malaysia," kata Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong yang turut memeriahkan majlis.

Eye On Malaysia merangkumi dokumentari The Joss Stick Maker, Honey Hunters, The Seasmiths dan Wind Chucker. Apa yang mengujakan, dokumentari-dokumentari itu akan disaksikan oleh penonton luar termasuk India, Korea, Jepun, New Zealand dan Australia.

"Sejak saluran Discovery boleh ditonton oleh rakyat Malaysia, kami telah menawarkan pintu dunia kepada anda. Kini adalah peluang bagi penonton dunia mendalami Malaysia. Jika diberi kesempatan, ia mungkin akan disiarkan di 175 buah negara yang mempunyai siaran saluran Discovery," kata Timbalan Presiden & Pengarah Urusan Discovery Networks Asia Pacific, Tom Keaveny ketika ditemui selepas pelancaran Eye On Malaysia.

Memilih tarikh 29 Ogos untuk menayangkan keempat-empat dokumentari dari pukul 6 petang bagi meraikan Hari Merdeka, keempat-empat cerita yang dibikin dipilih daripada 60 penyertaan. Selepas pemilihan, mereka menghadiri bengkel Discovery supaya produk yang dihasilkan menepati piawaian saluran itu.

"Setelah melihat hasilnya, saya amat berpuas hati. Malaysia sebenarnya mempunyai ramai bakat dan cerita yang boleh disampaikan. Namun, penghasilan dokumentari tidak boleh dilakukan dalam jangkamasa singkat. Daripada penyelidikan, rakaman dan pasca-produksi, semuanya tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Maka, mereka berempat telah menggunakan masa lebih kurang lapan bulan," jelas Tom.

Sebuah dokumentari yang berkualiti turut memerlukan bajet tinggi. Maka, sebanyak RM150,000 hingga RM180,000 diperlukan untuk sebuah dokumentari. Tapi apabila melihat hasilnya, bajet yang digunakan adalah berbaloi.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90