Top Ad 728x90

Tranformasi fikiran agung menentukan hala tuju negara

Sekarang ini, ramai yang bercakap mengenai transformasi, terutama dalam menghadapi masa depan. Dalam sistem pendidikan pun, usaha dibuat untuk mentransformasikan pengajian tinggi negara, menjadikannya antara tersohor di dunia.

Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipilih menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (Apex) pun memilih Transformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok. Hasratnya ialah untuk mengubah pemikiran mahasiswanya bagi memastikan kelangsungan nasib manusia dan dunia ini terpelihara seperti amanah Tuhan dalam amalan agama kita.

Jika makna transformasi dilihat secara mudah, ia berkisar kepada usaha untuk mengubah dan menganjak sesuatu, tentunya daripada keadaan sedia ada kepada yang lebih baik. Transformasi utama harus dilakukan untuk menjayakan apa juga usaha tentunya bermula daripada anjakan minda dan pemikiran tersedia.

Tanpa kesediaan untuk mengubah dan menganjak pemikiran, sukar dilakukan apa juga usaha untuk menambahbaikkan keadaan. Demikian jugalah halnya, tatkala kita berdepan usaha memilih seseorang pemimpin.

Mengambil kira kepentingan umum, maka transformasi utama harus dilakukan ialah dengan menetapkan apa yang ingin dicapai akhirnya. Apakah matlamat diingini dalam sesuatu pemilihan dilakukan, misalnya pemimpin yang bagaimanakah yang kita inginkan untuk masa depan.

Adakah pemilihan seseorang pemimpin dilakukan berasaskan kepada emosi dan peribadinya semata-mata atau kita menilainya dari sudut pemikiran dan sumbangan boleh diberikan untuk masa depan.

Hal ini penting kerana kita jarang bersikap objektif dalam melakukan sesuatu pemilihan pemimpin sebaliknya menentukan sebahagian besarnya dari sudut emosi. Lagi buruk peribadi seseorang itu menurut perkiraan kita terutama melalui khabar angin, lagi payahlah kita memilihnya.

Kita sering menilai berdasarkan apa yang kita nampak dan diceritakan orang. Kita percaya kepada kata-kata di pentas ceramah dan permainan emosi berdasarkan karisma orang bercakap. Jarang sekali kita meminta seseorang yang kita ingin pilih membentangkan idea dan strateginya untuk mencapai kejayaan masa depan.

Barangkali, selepas 52 tahun merdeka, kita masih berlegar di sekitar pemikiran amat kecil, seperti ungkapan Eleanor Roosevelt, isteri Presiden Amerika Syarikat ke-32, great minds discuss ideas; average minds discuss events; small minds discuss people.

Sudah sampai masanya kita melakukan sedikit transformasi pemikiran yang ada daripada hanya semata-mata berkisar kepada peribadi orang kepada usaha untuk melihat nilai yang lebih positif dan berdaya maju.

Sudah sampai masanya kita menilai berdasarkan great minds yang boleh dilahirkannya dan berusaha bersama-sama memainkan peranan bagi menjayakan gagasannya.

Walaupun diakui kualiti kepemimpinan turut dipengaruhi faktor peribadi, usaha juga harus dibuat untuk memberi peluang kepada mereka yang benar-benar bersedia dari sudut minda dan keinginan bekerja keras.

Hentikanlah cakap-cakap mengenai siapa yang layak masuk syurga dan neraka kerana itu bukan hak kita untuk menentukannya. Hentikan juga pemikiran dan tindakan yang melihat politik semata-mata daripada sudut kuasa dan keinginan memenangi pilihan raya.

Apatah lagi mengharapkan pemimpin dipilih hanya untuk meneruskan citra politik peribadi dan mereka sekelilingnya yang akan membawa masyarakat kepada usaha yang tidak ke mana akhirnya. Landasan politik harus digunakan untuk membangunkan manusia yang dipimpin dari semua sudut, bukannya semangat dan retorik di atas pentas ceramah.

Telitilah apakah strategi dan perancangan seseorang pemimpin atau bakal pemimpin dalam usaha membawa masyarakat keluar dari segala kemelut masalah yang ada.

Lihat idea-idea besar yang boleh dimanfaatkan untuk mendorong masyarakat maju ke hadapan, bukan sekadar berada di tempat sama untuk bersorak-sorai sepanjang masa dengan segala janji manis dan retorik untuk kita ketawakan orang lain, dan menyatakan seolah-olah kita saja yang paling sempurna.

Soalnya bersediakah kita transformasikan pemikiran dan tindakan untuk melihat satu gagasan besar masa depan dan kelangsungan umat yang ada atau kita akan terus terperangkap dalam budaya yang melihat pemilihan kepemimpinan sebagai alat untuk mencapai objektif peribadi atau mereka sekelilingnya saja, sedangkan masa depan umat tidak diperhitungkan dengan mendalam.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90