Top Ad 728x90

,

Tangguh sebat cetus debat

Tokoh agama serta pemimpin masyarakat dan politik bercanggah pendapat berhubung keputusan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menangguhkan pelaksanaan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno berhubung kesalahan meminum arak.

Sesetengah pihak menyifatkan keputusan itu boleh menimbulkan tanggapan negatif di kalangan masyarakat, manakala ada pula menganggap penangguhan itu wajar.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata keputusan Jaip menggambarkan sesetengah pihak kurang yakin dengan pelaksanaan undang-undang syariah.

"Hukuman itu tidak wajar ditangguhkan dengan alasan untuk menghormati Ramadan. Jika berpegang kepada alasan itu, maka semua hukuman terhadap pesalah yang ingin dijalankan pada bulan ini (Ramadan) perlu ditangguhkan.

"Alasan yang dikemukakan cukup rapuh, saya fikir ada pihak berasa serba salah untuk melaksanakannya, sedangkan pesalah terbabit sendiri sedia menjalani hukuman ini, malah mahu ia dilaksanakan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Jaip menangguhkan hukuman sebat terhadap Kartika yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini, sehingga menimbulkan kekecohan selepas model sambilan itu berkeras mahu dibawa ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.

Bekas Yang Dipertua Yadim, Datuk Dasuki Ahmad, juga berpendapat hukuman itu seharusnya diteruskan walaupun pada bulan Ramadan bagi mengelak salah tanggapan masyarakat terhadap pelaksanaan undang-undang syariah.

"Apabila mahkamah sudah menjatuhkan hukuman dan pesalah sedia menerima hukuman terbabit, apa salahnya jika melaksanakannya walaupun di bulan Ramadan. Tujuan kita hendak mendidik bukannya mendera.

"Kita perlu jelas dari segi hukuman apakah ia bertujuan untuk mendera atau menghukum. Perkara ini diheboh-hebohkan dan ia bukan saja menjejaskan imej Islam, malah menampakkan kita ingin melakukan penderaan," katanya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Nooh Gadut, pula menjelaskan tiga aspek perlu diambil kira sebelum membuat keputusan menangguhkan hukuman terbabit, iaitu pesalah, pemerintah atau pelaksana undang-undang dan masyarakat.

"Pertama pesalah menerima keputusan mahkamah dengan penuh keinsafan dan penghargaan sepatutnya diberikan kepada beliau. Satu pahala besar akan beliau peroleh sekiranya bertaubat nasuha.

"Kedua, Nabi Muhammad SAW sewaktu menjatuhkan hukuman terhadap perempuan yang mengaku berzina, pernah menangguhkan hukuman itu sehingga wanita terbabit bersalin kerana tertuduh sudah insaf dan sedia menerima hukuman. Pandangan masyarakat juga perlu diambil kira supaya orang ramai tidak melihat Islam itu zalim.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhamad Razak Idris, berkata keputusan Jaip yang meletakkan asas pada Ramadan bagi menangguhkan hukuman terhadap Kartika perlu dihormati.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui laman blognya mempersoalkan hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah terhadap Kartika, sama ada ia keputusan tepat dan adakah terdapat peruntukan dalam undang-undang Syariah di negara ini.

"Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah. Jika kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan undangan atau melalui fatwa oleh ulama, bolehkah tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim.

"Dalam al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan, apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya. Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula memuji tindakan Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan hukuman itu ditangguhkan.

Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita 2009, beliau berkata, penangguhan hukuman itu bersesuaian bagi menghormati bulan Ramadan, di samping mengelak persepsi negatif dunia terhadap negara ini.

"Kami di kementerian sentiasa mengikuti perkembangan kes ini dan tidak mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan itu.

"Apa yang kita risau, corak hukuman itu boleh memberikan impak buruk kepada negara ini seperti Malaysia dianggap mengamalkan sistem yang zalim," katanya.

Shahrizat berkata, Kartika juga masih mempunyai ruang untuk meminta semakan semula hukuman yang dijatuhkan itu, namun kementerian dan kerajaan tidak mempunyai hak untuk memaksanya berbuat demikian.

"Saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu asalkan pelaksanaannya tidak menunjukkan ia dibuat atas faktor Kartika ini seorang wanita. Bagi saya, ini bukannya cara terbaik untuk mendidik apatah lagi hukuman ini keputusan yang tepat atau tidak.

"Kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Dasar wanita yang baru juga akan mengambil kira semua ini agar tidak ada pihak yang teraniaya atau menjadi mangsa hanya kerana mereka ini seorang wanita," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90