Isu Semasa - Makhluk asing, imej polis dan hadiah kerajaan
Dalam kes di Shah Alam, kepala lembu sudah hilang entah ke mana dan orang yang mengangkatnya juga ghaib. Mereka yang berdemonstrasi membantah pembinaan kuil tiba-tiba menjadi golongan yang mahukan penyelesaian secara aman kerana menghormati agama lain.
Keadaan ini disamakan dengan filem District 9 apabila manusia menyentuh DNA makhluk asing, maka mereka boleh menggunakan kelengkapan makhluk asing tersebut. Jika bukan makhluk asing yang singgah ke Shah Alam dan meninggalkan ‘sesuatu’, bermakna penduduk di Seksyen 23 telah menyentuh DNA makhluk asing.
Mereka telah dirasuk dengan aliran elektronik makhluk asing sehingga bukan sahaja dapat mengendalikan peralatan seperti kepala lembu, malah boleh menggunakan bahasa makhluk asing bertutur.
Sekarang makhluk asing itu telah ghaib. Mereka yang mengangkat kepala lembu juga tidak dapat dikenal pasti. Mereka berkata, tidak pandang rendah agama lain dan sayangkan keamanan.
Wah! Ini semua bencana daripada makhluk asing.
Dalam isu dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pula kehadiran ‘makhluk asing’ dikaitkan apabila perwakilan tidak tahu mesyuarat mana harus dihadiri. Tidak tahu siapa yang perlu didengar dan usul mana harus disokong.
Tujuan mesyuarat adalah sama, tetapi peliknya apa yang akan diusulkan berbeza. Seorang pemimpin disyaki memang ‘seekor’ makhluk asing kerana tidak tahu perasaan ahli MCA dan tidak tahu apa yang difikirkan oleh masyarakat Cina. Mereka menggunakan cara makhluk asing mengendalikan MCA, maka MCA adalah parti pertama yang menjadi makhluk asing.
Dalam isu di Permatang Pasir, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kekalahan BN disebabkan kurangnya penduduk yang keluar mengundi.
Jika peratusan mencecah 85 peratus, BN pasti menang. Hakikatnya BN kalah 4,551 undi, bukan 51 atau 551 undi. Menggunakan logik akal, jika jumlah pengundi mencapai 85 peratus dan semua memberi undi kepada BN, BN masih kalah.
Melainkan jika menggunakan ilmu kirakira dan akal makhluk asing. Kelebihan makhluk asing amat luar biasa, jika tidak mereka tidak mungkin sampai ke bumi.
Oh Tuhanku! Makhluk asing memang benar telah hadir!
Akhbar China Press pada muka depan ruangan Bisnes, 3 September pula menyiarkan artikel membandingkan ‘hadiah’ oleh kerajaan ini dengan kerajaan Macau.
Artikel yang bertajuk ‘Kenapa orang lain dihadiahkan gula-gula, kita dihadiahkan bom’ menyentuh mengenai usaha Macau memberikan antara RM2,278 hingga RM2,733 kepada rakyatnya bagi mengatasi kegawatan ekonomi. Sebaliknya di Malaysia, selepas 52 tahun merdeka, kita semakin berundur ke belakang. Sikap berdolak-dalik masih tidak berubah dari dulu hingga sekarang.
Pada sambutan Hari Kemerdekaan, kerajaan memberi ‘Hadiah Besar’ yang tidak mungkin dilupakan.
Apabila membuka bungkusan hadiah itu, ia adalah “sebutir bom”. Harga minyak naik. Bermula 1 September, RON95 dan RON97 naik kepada RM1.80 dan RM2.05.
Akhbar itu pada 7 September turut menyiarkan rencana mengenai tanggapan orang ramai terhadap pihak polis bertajuk ‘Apa yang mahu dijawab oleh pihak polis?'.
Artikel ini memetik kaji selidik online oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendapat maklum balas 735 orang.
Daripada jumlah itu, 73 peratus mengatakan mereka marah apabila ternampak polis. Seramai 70 peratus menyatakan dipaksa memberi rasuah kepada polis manakala lebih 92 peratus berpendapat polis perlu lebih banyak membuat rondaan.
Sebanyak 89 peratus menyatakan kerajaan perlu menubuhkan badan bebas luar untuk mengawasi keberkesanan tugas polis. Apa pandangan terhadap keputusan soal selidik ini? Mengikut perangkaan soal selidik awal, polis adalah satu-satunya badan yang paling kuat rasuah dan keyakinan orang ramai terhadap polis menjunam.
Hakikatnya, imej polis di kaca mata orang ramai adalah buruk. Jarang berlaku di mana-mana negara sekiranya berlaku rompakan tidak dilaporkan kepada polis.
Tetapi di negara ini, ramai yang dirompak lebih suka tidak melaporkannya. Kenapa orang ramai tidak mahu membuat laporan? Pertama, polis banyak membuang masa menyoal mangsa. Atau polis menyiasat dan membuat banyak andaian.
Kedua, tidak banyak kes yang berjaya diselesaikan. Atau pun jika ada tangkapan, selalu kedengaran orang kata ‘tangkap di pintu depan, lepaskan di pintu belakang’.
Ketiga, selepas aduan dibuat, polis lambat datang dan memberi peluang kepada penjenayah melepaskan diri.
Keempat polis seperti satu negara dua sistem. Berlaku pilih kasih sehingga mengetepikan keadilan.
Kelima polis selalu jaga lorong-lorong kecil jalan mati dan tangkap pesalah lalu lintas. Adakah pihak polis benar-benar menjalankan tugas? Keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap anggota polis adalah sifar.
- UTUSAN