PNS: Hentikan biaya francais
Ia berikutan terdapatnya keadaan seolah-olah francaisor menjadikan francaisi umpan untuk mendapatkan dana kerajaan dengan mudah.
Kebimbangan itu disuarakan oleh lebih 30 usahawan yang kini bimbang kemungkinan diistiharkan muflis berikutan kegagalan mereka meneruskan perniagaan yang disertai.
Bekas francaisi Marrybrown, Jukebox, Watershop, VV Shop, Camps Apparel, Sinma dan Kwikstop berharap pendedahan yang dibuat akan membuka mata pihak berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.
Setiap usahawan kini menanggung hutang sekitar RM100,000 hingga RM450,000 setelah didakwa terdapat penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh syarikat induk atau francaisor itu.
"Sepatutnya, di dalam perniagaan francais mestilah wujud keadaan menang-menang tetapi dalam keadaan ini keuntungan lebih memihak kepada francaisor," dakwa bekas francaisi Jukebox, Hapsah Jaafar kepada wartawan hari ini.
Katanya, para francaisi kerap menghadapi kerugian yang tidak munasabah dan kurang jelas seolah-olah "dicipta" oleh francaisor.
"Antaranya, francaisi akan berhutang belian stok kerana ia tidak dibenarkan memilih dan mengawal stok sendiri. Sebaliknya ia dikawal dan ditentukan oleh francaisor.
"Had belian stok yang tidak dikawal dan dipantau serta penghantaran stok hampir setiap hari telah menyebabkan belian melebihi jualan. Akhirnya francaisi berhutang dengan francaisor."
Beliau amat berharap PNS tidak lagi meneruskan sistem francais yang membabitkan syarikat-syarikat induk tersebut supaya lebih ramai lagi bakal francaisi akan terselamat.
Hapsah yang terpaksa menutup perniagaan selepas setahun beroperasi berkata, bagi sistem francais Jukebox, katanya, PNS membiayai 11 peserta di mana kini lapan telah menutup perniagaan.
"Tiga lagi rakan kami sedang "nyawa-nyawa ikan" dan akan berakhir dengan nasib yang sama." Francaisor bagi Jukebox adalah Harian Shoes Sdn. Bhd., yang menjual kasut lelaki, wanita dan kanak-kanak serta aksesori.
Peserta PNS pula rata-rata merupakan bekas siswa dan siswazah.
"Bayangkan pada usia yang muda, kami kini telah dibebankan dengan hutang yang tidak sepatutnya," kata bekas francaisi Marrybrown Restaurant, Md Hizal Mustafa.
Katanya, kini terdapat lapan buah outlet Marrybrown yang terpaksa ditutup walau pun kurang dua tahun beroperasi berikutan menghadapi masalah yang hampir serupa dengan francaisornya.
"Jika kami dikatakan tidak mampu untuk menjalankan perniagaan, bagaimana PNS boleh yakin kepada kami dan meluluskan pinjaman kami." "Malah sebahagian daripada kami menggunakan wang poket sendiri bagi memulakan perniagaan sebelum pinjaman PNS diperolehi," katanya.
"Bayangkan berapa banyak wang pelaburan kerajaan untuk PNS terbuang tanpa hasil. Jika francais berjaya dan kami mampu membayar balik pinjaman, bukankan ia menguntungkan semua pihak."
Md Hizal berkata, terdapat juga francaisi bukan di bawah kelolaan PNS menghadapi masalah yang sama.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menganjurkan sidang akhbar pada hari ini berharap pihak kementerian yang berkaitan dapat menyelesaikan kemelut francais dan francaisor ini.
"Pihak pembiaya umpamanya perlu melihat semula sistem francais secara keseluruhannya. Mereka perlu sekurang-kurangnya gariskan tahap kejayaan francaisi itu, adakah ia berjaya setakat pinjaman berjaya diperolehi atau bagaimana?," kata Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan.
PNS sebelum ini katanya, telah memberi pemahaman kepada peserta bahawa mereka akan mendapat bimbingan dan bantuan daripada PNS serta syarikat induk yang dipilih."
Namun dengan situasi buntu ketika ini melihatkan pihak terbabit termasuk kementerian berkaitan, dan PFM seperti melepaskan tangan, katanya.
Bekas usahawan yang terlibat telah mengajukan permasalahan mereka kepada PNS, PFM malah kementerian terbabit, tetapi tiada sebarang tindakan di ambil.
"Mungkin akta francais perlu diubah," kata Nadzim.
- BERNAMA