Manusia tidak berhak untuk berlaku sombong, paling berkuasa
SYIRIK adalah suatu sifat yang kebanyakan manusia tidak menyedarinya apabila menyekutukan Allah SWT. Tidak sedikit orang yang mengira bahawa syirik adalah menyekutukan Allah dengan menyembah berhala, atau mengakui dirinya sebagai Tuhan seperti yang dilakukan Firaun.
Menurut agama, menyekutukan Allah mencakupi dimensi yang sangat luas dan merata. Dari gaya hidup Firaun yang mengaku sebagai Tuhan sampai cara berfikir bahawa wang adalah segala-galanya.
Orang yang menganggap batu cincin yang dipakainya berkhasiat melariskan jualan dengannya, termasuk syirik. Meminta atau memohon keselamatan pada dukun atau bomoh, memohon perlindungan dari jin, dan bahkan bekerjasama dengan jin atau makhluk halus untuk tujuan tertentu, juga termasuk bentuk syirik.
Dalam hal ini, orang berkenaan tidak hanya musyrik kerana menganggap jin dan makhluk halus boleh diminta pertolongan tetap juga mencampuri wilayah ghaib yang juga hak dan urusan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan" (Fatihah: 5).
Lebih jauh al-Quran memperingatkan mengenai bentuk kemusyrikan yang berada di hati manusia dengan pertanyaan: "Pernahkah engkau melihat orang-orang yang bertuhankan hawa nafsunya? (al-Jathiyah: 45).
Dari ayat ini, nampak jelas siapa saja yang orientasi perbuatannya untuk kepentingan hawa nafsunya, bererti ia menjadi musyrik.
Kesombongan, misalnya, termasuk salah satu bentuk kemusyrikan. Ini kerana manusia tidak berhak untuk sombong diri. Rasulullah SAW menjelaskan, "Tidak ada setitik kesombongan dalam hati manusia, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga."
Mendewakan hawa nafsu, sombong, dan merasa paling berkuasa adalah tiga bentuk kemusyrikan yang sering tidak disedari manusia. Nafsu ingin kaya dan berkuasa dengan menghalalkan semua cara, seperti rasuah, manipulasi, dan lain-lain penyelewengan, termasuk bentuk kemusyrikan.
Merasa dirinya lebih daripada orang lain sehingga ia merasa berhak untuk bercekak pinggang, juga termasuk bentuk kemusyrikan. Merasa dirinya paling berkuasa sehingga tidak mahu menerima kritik dan saranan orang lain, itu pun termasuk bentuk kemusyrikan. Sebab hanya Allah yang punya kekuasaan mutlak tanpa cacat.
Begitu juga dengan sifat takabur. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jauhilah sifat takabur. Sesungguhnya seseorang hamba yang selalu bersifat takabur lambat laun Allah memerintahkan pada malaikat-Nya: Tulislah hamba-Ku ini dalam golongan orang-orang yang zalim." (Hadis riwayat Ibnu 'Adi dari Abi Umamah).
Sifat takabur adalah sifat yang amat dicela dan dikecam agama. Baik dalam hadis mahupun dalam al-Quran terdapat berbagai keterangan yang menganjurkan setiap orang agar menjauhi sifat itu.
Ciri sifat takabur ialah, lupakan hakikat diri sendiri sebagai makhluk amat daif, lupakan kekuasaan Allah, memandang rendah kepada orang lain, enggan menerima kebenaran, memandang dirinya saja sempurna, benar dan kuat.
Orang takabur tidak dapat meletakkan perasaan simpati dan timbang rasa terhadap orang lain. Tidak dapat mengenal rendah diri, berbudi bahasa, hidung tinggi dan ketuanan, tidak dapat mengawal dirinya daripada perasaan hasad dengki dan iri hati. Ia mudah terdedah kepada perasaan tersinggung, marah dan dendam terhadap siapa saja yang mencabarnya. Ia memandang penting kepada hukum Allah dan tidak bersedia menerima kebenaran.
Akibat gejala kelakuan yang sedemikian buruk, itulah orang-orang yang bersifat takabur dikutuk Allah, dibenci manusia, dan dimasukkan ke dalam kumpulan orang zalim, yang akan menerima balasan pedih pada hari akhirat.
Ragam takabur itu, meliputi dengan kekuasaan, pangkat dan darjat, harta kekayaan, ilmu pengetahuan, kepemimpinan, kecantikan dan sebagainya. Kerana sifat takabur juga, iblis tidak mahu sujud kepada Adam sehingga ia dikutuk Allah. Semua ciri yang disebutkan itu termasuk dimensi yang menyebabkan kemusyrikan manusia.
Saidina Ali menyatakan: "Kemusyrikan itu bagaikan semut hitam yang merayap di ranting hitam di tengah hutan lebat pada malam gelap gelita."
Mari kita selidiki secara cermat, apakah dalam hati kita juga bersemayam kemusyrikan yang demikian. Pertanyaan ini wajar diajukan pada hati nurani kita sendiri.
Apakah kita termasuk majikan yang tidak menyediakan hak pekerjanya, apakah kita termasuk pemimpin yang menghilangkan hak rakyat yang diwakilinya. Apakah kita termasuk penguasa yang menutup hak rakyat untuk mengkritik, apakah kita termasuk orang yang memiliki jin dan makhluk halus untuk melindungi perniagaan kita? Jika itu terjadi pada diri kita, mari beristighfar dan bertaubat.
Justeru semua itu adalah bentuk kemusyrikan yang samar dan tersembunyi. Jika tidak bertaubat, Allah akan menimpakan kebinasaan dan azab kepada kita di dunia mahupun akhirat.