Fokus: Lemah bahasa Inggeris
Malah, kerajaan sudah membelanjakan banyak wang untuk tujuan itu termasuklah memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Walaupun dasar berkenaan akan dimansuhkan, usaha pengukuhan bahasa Inggeris diteruskan melalui Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris.
Persoalannya, adakah pelajar Melayu sudah bersedia mengubah sikap acuh tak acuh mereka dalam mempelajari bahasa yang menjadi medium masyarakat antarabangsa itu?
Dekan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara , Prof Madya Datin Dr Hajibah Osman, berkata persekitaran yang menggalakkan pertuturan bahasa Inggeris perlu diwujudkan dan pelajar tidak hanya menggunakan bahasa itu pada saat akhir sebelum menghadiri temu duga saja.
“Saya pernah bertanya beberapa pelajar, jika mereka bermimpi dalam bahasa apa? Mereka jawab, sudah tentu bahasa Melayu.
“Jadi, saya selalu ingatkan mereka, jika mahu menguasai bahasa berkenaan, mereka perlu sampai ke tahap bermimpi pun dalam bahasa global itu.
“Mungkin sesetengah pelajar menganggap menghadiri kelas mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai membuang masa kerana tidak begitu relevan dengan bidang teras masing-masing, malah ada yang menyatakan mengapa tidak fokus kepada mata pelajaran teras saja.
“Kesedaran mengenai pentingnya penguasaan bahasa Inggeris perlu dipupuk sejak awal bagi memastikan mereka lebih terbuka untuk menerima mata pelajaran itu,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Bolehkah kita hidup hanya dengan menggunakan bahasa kita? “Saya sangat patriotik serta percaya dengan bahasa ibunda kita namun saya juga percaya pada bahasa lain.
“Nampaknya bahasa Inggeris masih dominan sehingga kini. Apa salahnya kita menguasai lebih daripada satu bahasa kerana ia tidak membuatkan kita kurang berbudaya Melayu.
Beliau berkata, selain minat, faktor berkesan meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa itu adalah kaedah pengajaran guru.
Katanya, pendekatan itu perlu dipertingkat dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian kerana bahasa Inggeris tidak boleh diajar menggunakan bahasa lain dan kualiti tenaga pengajar serta teknik pengajarannya bermula di peringkat sekolah rendah lagi.
“Ia harus bermula daripada kreativiti guru. Jika golongan itu dapat menguasai serta menyampaikan pengajaran dengan berkesan, pelajar dapat meneruskan kesinambungan hingga ke peringkat pengajian tinggi.
“Banyak aktiviti boleh dilaksanakan untuk menarik minat pelajar, contohnya dengan mengadakan minggu bahasa Inggeris, pertandingan debat, drama dan bercerita.
“Ketika zaman saya belajar dulu, guru hanya ‘mengasah’ kami dengan tatabahasa pada peringkat sekolah menengah kerana penguasaan kami sudah bermula sejak sekolah rendah,” katanya.
Hajibah berkata, ketika di peringkat sekolah menengah dan universiti, pelajar perlu didedahkan dengan program bertaraf antarabangsa sebagai usaha membantu memajukan diri mereka.
“Sekarang, bukan saja pelajar luar bandar sukar menguasai bahasa Inggeris, malah di peringkat institusi pengajian tinggi mereka masih tergagap-gagap untuk bertutur dalam bahasa itu.
“Faktor demografi bukan penentu segala-galanya, saya hanya belajar di sekolah kampung, namun atas usaha dengan lima rakan lain bertutur dalam bahasa Inggeris kami berjaya melangkah ke sekolah di bandar.
“Walaupun usaha itu agak lambat (pada darjah enam), namun aktiviti yang kami lakukan banyak membantu dan ia adalah salah satu faktor saya boleh menguasai bahasa Inggeris,” katanya.
Katanya, pelajar tidak perlu mendapatkan pengajian di luar negara, malah di dalam negara pun sudah cukup untuk menguasai bahasa Inggeris dengan berkualiti.
“Tidak semestinya jika anda belajar di luar negara, anda akan fasih berbahasa inggeris... ramai graduan dari luar negara balik ke Malaysia bertutur lebih banyak bahasa Melayu daripada rakan mereka yang sedia ada di sini.
Hajibah berkata, sama ada kita suka atau tidak, bahasa Inggeris juga adalah bahasa perniagaan peringkat antarabangsa.
“Jika kita menghantar emel kertas cadangan menggunakan bahasa Inggeris yang teruk, orang luar tidak akan berkeyakinan untuk mengadakan kerjasama walaupun sebenarnya produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan berkualiti, bukan setakat itu saja, mereka akan mentertawakan kita.
“Negara seperti Perancis, Jerman dan China yang dulunya tidak mahu menggunakan bahasa Inggeris, kini sudah mula sedar mengenai kepentingannya. Sebelum Olimpik di Beijing tahun lalu, China membelanjakan berjuta dolar Amerika Syarikat bagi melatih mereka yang terbabit dengan olimpik untuk mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris.
“Jika kesedaran itu datang lebih awal, mereka tidak perlu mengeluarkan banyak wang untuk tujuan itu kerana bahasa adalah kunci perhubungan dunia, dengannya kita mampu pergi jauh,” katanya.
- BERITA HARIAN