Pesakit kanser sendi lutut rayu bantuan RM34,000
Seorang pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kini mengharapkan simpati orang ramai dalam usahanya mengumpul dana RM34,000 bagi membiayai kos pembelian implan pembedahan kanser sendi lutut yang dijalaninya.
Anak peneroka dari Felda Jengka Tiga, Pahang, Mohd Shahrul Md Said, 19, berkata bapanya, Md Said Hassan, 63, yang juga seorang peneroka dengan pendapatan tidak seberapa, tidak mampu menanggung kos pembelian implan kerana bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan sawit.
Pelatih IKBN Wakaf Tapai itu berkata, walaupun berjaya melalui pembedahan membuang tulang paha yang diserang kanser itu, dia kini rasa sedih kerana keluarga tidak mampu menanggung kos pembelian implan.
"Ayah sudah tua, manakala ibu, Aminah Ariffin, 61, tidak bekerja dan kos implan RM34,000 itu amat membebankan mereka berdua, memandangkan hasil jualan kelapa sawit tidak seberapa, bergantung kepada turun naik harga komoditi itu," katanya ketika ditemui bersama Aminah, di HUSM, Kubang Kerian, dekat sini, semalam.
Mohd Shahrul berkata, kanser itu mula dikesan tahun lalu, selepas dia tergelincir di rumahnya yang menyebabkan bahagian atas lutut kanan membengkak dan ketika itu, keluarganya membawa dia berubat secara tradisional kerana menyangka hanya terseliuh.
Katanya, bagaimanapun, bengkak itu tidak sembuh, lalu dia dirujuk ke klinik serta diberikan ubat penahan sakit saja dan ketika di IKBN, dia terjatuh kali kedua sehingga pengsan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu, untuk menerima rawatan.
"Di hospital itu, doktor mengesahkan saya menghidap ketumbuhan pada bahagian paha itu sebelum dirujuk ke HUSM untuk pembedahan kerana disahkan menghidap kanser sendi lutut peringkat awal yang memerlukan pembedahan segera yang dijalaninya pada 1 Julai lalu," katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghantar sumbangan dalam bentuk cek atas nama Berita Harian Sdn Bhd dengan menulis nama Mohd Shahrul Md Said di belakangnya dan dihantar kepada Jabatan Kewangan / Unit Kebajikan, The News Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
- BERITA HARIAN