Isu 'Facebook' Ashraf: Lebih ramai sokong dari benci saya di Indonesia


Kecoh juga apabila perselisihan yang berlaku di antara Malaysia dan Indonesia berikutan isu lagu kebangsaan 'Negaraku' yang dikatakan meniru rentak lagu Indonesia 'Terang Bulan' dan isu kontroversi tarian pendet.

Malah berikutan masalah itu juga, berita mengenai pelakon, Ashraf Sinclair, kononnya diusir dari negara Indonesia juga menjadi panas setelah disiarkan di laman web Facebook serta berita tersebut juga telah dikeluarkan oleh sebuah tabloid bahasa Inggeris semalam.

Ketika dihubungi mStar Online semalam bagi mendapatkan reaksinya berkenaan isu tersebut, Ashraf yang kini menetap di Indonesia bersama isterinya, aktres/penyanyi Bunga Citra Lestari, berkata keadaannya di Indonesia begitu baik malah tidak pernah menghadapi sebarang masalah di sana.

"Saya telahpun dimaklumkan mengenai berita yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut dan saya ingin menjelaskan bahawa keadaan saya di sini sangat baik dan tidak menghadapi sebarang masalah.

"Saya memang bekerja dan mencari rezeki di sini (Indonesia), tetapi semuanya tiada masalah. Saya ada berlakon drama di sini yang berjudul 'Cinta dan Anugerah' dan apa yang membanggakan adalah semua penduduk Indonesia dapat menerima drama lakonan saya itu dengan baik.

"Rating drama tersebut berada di nombor dua sekarang, malah sudah hampir 100 episod pun drama tersebut ditayangkan," katanya.

Menurut Ashraf juga, isu yang disiarkan di Facebook itu juga tidak mendapat sambutan kerana pihak yang terlibat dalam memberi komen terhadap isu tersebut tidak ramai dan tidak aktif.

Ashraf juga menganggap semua ini adalah perbuatan sesetengah pihak yang anti atau tidak suka terhaadap dirinya.

"Saya merasakan semua itu adalah perbuatan sesetengah pihak yang anti terhadap saya... itu adalah perkara biasa, semua orang ada masalah begini, bukan saya sahaja.

"Artis-artis lain juga ada pihak yang anti terhadap mereka. Saya sudah periksa di Facebook, hanya terdapat 150 orang sahaja yang memberi komen pada isu tersebut.

"Dari 200 juta penduduk Indonesia, hanya 150 orang sahaja yang anti saya, ini tidak memberi apa-apa masalah pada saya.

"Di sini, lebih ramai yang menyokong saya dan semua mereka kenal dan minat dengan lakonan saya. Laman web Twitter saya juga sudah mempunyai 11 ribu orang pengikut dan sebahagiannya adalah peminat dari Indonesia.

"Semua itu sudah membuktikan betapa saya diterima di sini dan lebih ramai yang menyokong saya dari yang membenci saya," jelas Ashraf yang kini aktif berlakon di sana.

Ashraf juga menyatakan hasratnya agar peminatnya serta rakyat Malaysia tidak cepat melatah dengan masalah yang sedang berlaku kini kerana Ashraf tidak mahu keadaan antara Malaysia dan Indonesia bertambah buruk.

"Jadi saya ingin meminta semua peminat saya dan rakyat Malaysia tidak melatah dan naik angin dengan apa yang digembar-gemburkan terhadap saya. Saya tidak mahu anda semua fikir bahawa saya telah ditindas di sini.

"Alhamdulillah, keadaan saya baik... saya sangat diterima oleh orang-orang di sini dan tidak mahu keadaan antara Malaysia dan Indonesia menjadi bertambah buruk disebabkan isu seperti ini," katanya.

Sempat ditanya mengenai sambutan hari raya, Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair, mengatakan dia sudah tidak sabar untuk pulang beraya ke Kuala Lumpur pada hari raya kedua nanti.

"Bercakap pasal raya, saya akan pulang beraya ke Kuala Lumpur pada raya ke dua dan saya rasa tak sabar untuk sambut raya.

"Baru dua malam lepas, saya sampai termimpi-mimpi beraya kat Malaysia dengan makan macam-macam makanan seperti lemang, rendang, nasi beriyani dan berbagai lagi.

"Saya akan beraya di Kuala Lumpur selama tiga hari... dan pada pagi 26 September saya akan bertolak ke Jakarta untuk sambung kerja semula," kata Ashraf.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url