Tol percuma hadiah raya

Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak akan menikmati laluan tol percuma dari 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi pada 18 dan 24 September ini.

‘Hadiah hari raya’ itu meliputi semua kelas sama ada kereta, bas mahupun lori.

Ini bermakna, kenderaan kelas pertama seperti kereta bakal menikmati pengecualian maksimum iaitu RM29 sehala yang melibatkan perjalanan dari Plaza Tol Gombak hingga ke Plaza Tol Jabor di Kemaman, Terengganu atau laluan sebaliknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Datuk Azmil Khalid berkata, program pengecualian tol itu adalah yang pertama dilakukan oleh syarikat konsesi lebuh raya di negara ini.

Katanya, perjalanan percuma sempena Aidilfitri itu dianggarkan bernilai RM2 juta berdasarkan purata penggunaan 200,000 buah kenderaan sehari.

“Bagi kami, jumlah RM2 juta itu tidaklah besar apabila dibandingkan dengan nyawa para pengguna dua lebuh raya tersebut.

“Pengecualian tol ini bertujuan mendorong para pengguna merancang perjalanan sekali gus mengurangkan kesesakan dan kemalangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kumpulan MTD di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Salleh dan pengurusan tertinggi Kumpulan MTD.

Azmil berkata, pengecualian tol itu diharap akan mendorong lebih ramai pengguna memulakan perjalanan mereka selepas tengah malam kerana ia berada di luar waktu puncak.

Berdasarkan rekod katanya, 60 peratus pemandu menumpukan perjalanan pada siang hari dan ini menyebabkan kesesakan yang teruk.

Ditanya mengenai perjalanan pada waktu malam lebih terdedah kepada kemalangan, Azmil menjelaskan, pemandu sebenarnya berada dalam keadaan segar sekiranya mendapat rehat secukupnya.

“Biasanya waktu mengantuk ialah selepas makan malam dan apabila melepasi tengah malam, rasa mengantuk akan hilang,” katanya.

Azmil berkata, sekiranya program pengecualian tol itu berjaya mengurangkan kesesakan, pihaknya akan membuat pertimbangan sama ada ia wajar diperkembangkan pada musim perayaan lain.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Kaseh Mucuk
    Kaseh Mucuk Rabu, 16 September 2009 pada 3:41:00 PTG SGT

    tol PLUS xde ke? huhu

Add Comment
comment url