Utusan-Maybank tubuh tabung gempa bumi di Jawa
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, usaha itu sebagai meneruskan tradisi syarikat akhbar ini yang prihatin terhadap mangsa bencana atas nama kemanusiaan.
Menurutnya, tabung itu bertujuan meringankan penderitaan mangsa gempa bumi terutama yang terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba kekurangan.
''Dengan menggerakkan tabung itu, kami berharap orang ramai di negara ini dapat turut membantu meringankan beban mangsa gempa bumi terlibat menjelang hari lebaran,'' kata beliau dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pula berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu komuniti yang memerlukan terutama di lokasi mereka beroperasi.
''Kami juga akan memulakan kutipan di antara kakitangan Maybank di Malaysia dan melalui anak syarikat kami di Indonesia, Bank Internasional Indonesia (BII) untuk membantu mereka.
''BII mempunyai rekod dalam memberi bantuan kemanusiaan. BII juga membolehkan rakyat Indonesia memberikan sumbangan melalui dana CSR BII Berbagi yang juga akan digunakan untuk membantu mangsa,'' katanya.
Abdul Wahid menambah, Maybank berharap rakyat Malaysia yang prihatin akan dapat membantu terutama dalam bulan Ramadan dan musim perayaan.
''Kutipan tersebut akan disalurkan kepada mangsa gempa bumi dengan BII akan menguruskannya kerana mempunyai akses kepada masyarakat di sana,'' katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan derma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank boleh menyumbang secara tunai atau cek atas nama 'Tabung Gempa Bumi Nusantara Utusan-Maybank' dan mendepositkan sumbangan itu ke dalam akaun Maybank 514011000551 di semua cawangan Maybank seluruh negara.
Kempen kutipan Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank bermula hari ini sehingga 30 September ini.
Pada tahun lalu, tabung yang sama berjaya mengutip sumbangan melebihi RM1 juta dalam tempoh sebulan kepada mangsa gempa di Sumatera.
Sumbangan itu telah digunakan untuk membeli 11 buah ambulans dan satu trak tangki air untuk hospital dan pihak berkuasa Bengkulu di pulau berkenaan.
- UTUSAN