70 peratus stesen minyak diusahakan oleh bumiputera

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kira-kira 70 peratus stesen minyak di seluruh negara kini diusahakan oleh golongan bumiputera.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada langkah kerajaan melaksanakan sistem pengagihan lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) yang lebih teratur.

Melalui usaha itu juga, katanya, telah berjaya melahirkan lebih ramai peniaga bumiputera kelas menengah di negara ini.

''Melalui langkah dan inisiatif kerajaan dalam melaksanakan PDA yang lebih teratur telah berjaya membuahkan hasil iaitu 70 peratus stesen minyak di Malaysia kini diusahakan oleh kaum bumiputera.

''Oleh itu, saya amat berharap agar perniagaan ini akan terus berkembang dan seterusnya dapat diwarisi oleh generasi akan datang,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan makan malam sempena mesyuarat delegasi tahunan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom; Presiden PDAM, Datuk Hashim Othman dan Timbalan Presiden PDAM, Datuk Zulkifli Abd. Mokti.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin bangga dengan kegigihan pengusaha bumiputera terbabit apabila berjaya membuktikan kemampuan mereka menguruskan perniagaan dengan baik walaupun dalam suasana ekonomi tidak menentu.

''Dalam situasi krisis ekonomi yang masih belum reda sepenuhnya, saya sedia maklum bahawa pengusaha stesen minyak menghadapi pelbagai cabaran menjalankan perniagaan masing-masing.

''Namun begitu dengan berkat usaha dan kegigihan yang ada, telah menjadikan tuan-tuan menjadi pengusaha stesen minyak yang berjaya serta dapat bertahan sehingga kini,'' katanya.

Sementara itu Muhyiddin meminta pengusaha stesen minyak bumiputera lebih aktif membantu syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dalam memberi peluang kepada mereka memasarkan produk masing-masing.

''Saya dimaklumkan PDAM telah pun mencadangkan kepada pihak kementerian supaya memudahkan pihak IKS tempatan menembusi pasaran stesen minyak sedia ada.

''Saya berharap pihak pengusaha dapat memberi peluang kepada IKS memasarkan produk mereka dengan syarat-syarat yang lebih sesuai dan berpatutan termasuk bayaran yuran yang lebih rendah,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url