Fiqa juara Gadis Melayu musim kedua


Program televisyen realiti Gadis Melayu musim kedua mengulangi pemilihan gadis bertudung sebagai pemenang apabila memilih Siti Nur Syafiqa Amirul Melvin sebagai ikon gadis Melayu.

Dalam program yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam semalam, gadis itu yang mesra dipanggil Fiqa membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan hadiah-hadiah iringan yang lain.

Selain gelaran utama, Fiqa turut memenangi kategori Gadis Safi Balqis dengan merangkul wang tunai RM3,000.

Tahun lalu, peserta program terbitan TV9 itu yang mempertaruhkan kecantikan, ciri-ciri gadis Melayu selain menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberi telah mengangkat peserta yang juga bertudung, Khairul Noormaidah Zali atau Aida mengungguli pertandingan tersebut.

Hadiah juara Gadis Melayu musim kedua disampaikan oleh Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun yang diiringi Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Menurut Fiqa, dia terharu kerana dipilih sebagai juara musim kedua program televisyen realiti itu kerana menerima saingan yang sengit daripada empat peserta akhir lain.

''Saya sangat menghargai keluarga yang telah banyak memberi dorongan. Begitu juga dengan peminat dan juga komposer Fauzi Nawawi yang telah membantu lakonan saya pada malam ini serta semua pihak terbabit,'' katanya selepas berakhirnya pertandingan anjuran stesen TV di bawah naungan Media Prima Berhad itu.

Seorang lagi peserta akhir iaitu Shazfinas Hashim atau Finas memenangi kategori Gadis Bijaksana dengan menggondol hadiah wang tunai RM2,000.

Gadis Melayu merupakan program televisyen realiti yang mengadili para pesertanya menerusi 50 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) manakala 50 peratus lagi melalui pemilihan panel juri profesional.

Para juri yang mengadili para peserta ialah Datin Seri Normala Shamsudin, Nurfarahin Jamsari, Izza Safinaz Ibrahim, Rosyam Nor, Syafinaz Selamat dan Adam Salleh.

Selain Fiqa dan Finas, tiga lagi Gadis Melayu musim kedua yang bersaing pada peringkat akhir yang diacarakan oleh Adlin Aman Ramlie dan isterinya, Emelda Rosmila itu ialah Nadia Adrianna (Nadia), Putri Noor Nawal Ramlan (Putri) dan Hazlin Hussain (Lyn).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url