Hentikan amalan ‘berpesta’ di musim banjir
Mahu tidak mahu, suka atau tidak, menyusahkan atau apa padah sekali pun, banjir tetap akan berlaku bila sampai masanya kerana ia adalah antara hukum alam.
Kejadian banjir pusingan pertama akan menjadi panduan untuk menghadapi banjir pusingan kedua dan ketiga.
Tahun ini, banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir, tahun ini dilanda bencana itu. Antara puncanya dikatakan kerana kepesatan pembangunan.
Biasanya kerana rancangan membangunkan sesuatu kawasan tidak melibatkan soal saliran dan pengairan dengan berkesan.
Maka kawasan yang jauh dari sungai, becah, tasik, alur dan kubang pun turut digenangi air pada musim tengkujuh tahun ini apabila hujan lebat kerana alirannya tersekat.
Sama ada kerana terhalang oleh pembinaan jalan raya dan juga gara-gara pembinaan rumah dan bangunan tanpa disediakan saliran untuk air mengalir.
Demikianlah mahalnya harga yang terpaksa dibayar untuk tujuan pembangunan yang menjadi keperluan ketika ini. Rumah dan bangunan terpaksa terus dibina kerana ia merupakan suatu keperluan. Kesan sampingannya terpaksalah diterima dengan penuh reda.
Banjir tidak mungkin dapat disekat tetapi penduduk seharusnya bersiap-sedia terutama dalam soal keselamatan agar ia tidak menjadi bencana yang meragut nyawa.
Antaranya elak daripada menjadikan banjir sebagai pesta. Jangan jadikan musim banjir sebagai sesuatu yang menyeronokkan dengan anak-anak dibiarkan bermain air.
Jadikan banjir sebagai bencana alam yang patut ditakuti kerana pelbagai kesan buruk boleh tercetus dan bukannya dijadikan pesta untuk berseronok.
Pada setiap kali berlaku banjir dan adanya korban banjir, lazimnya bukan kerana rumah dihanyut arus tetapi rata-rata ia adalah berpunca kerana sengaja bermain air. Banjir diraikan seperti pesta terutama di kalangan kanak-kanak. Ramai ibu bapa yang kurang mengawasi anak-anak pada musim banjir.
Air melimpah di mana-mana, lazimnya muda mudi, malah orang dewasa yang sudah dalam kategori warga emas akan beramai-ramai meredah air. Malah ada yang berbuat demikian sehingga menjelang subuh.
Di kawasan pedalaman ada yang bermain air dengan menggunakan pelampung, rakit batang pisang atau kanak-kanak main terjun-terjun dan bermandi-manda dalamair yang mengalir deras.
Rasanya, belum pernah banjir di Kelantan berlaku tanpa meragut korban dan rata-rata korban disebabkan oleh kelalaian.
Oleh itu, marilah kita berusaha memastikan sifar maut dalam bencana banjir pada masa akan datang. Usaha ke arah itu boleh direalisasikan sekiranya kita berhenti daripada menjadikan banjir sebagai satu pesta.